ISMAIL Sabri Yaakob membayangkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh penuh dirosakkan oleh pihak tertentu.
Dalam kenyataan yang mengundang pelbagai teka-teki di Facebook, beliau menyatakan rasa kesal dengan perkembangan yang berlaku walaupun sudah “menutup pintu depan”.
“Saya sudah tutup pintu depan, tapi ...” kata menteri kanan keselamatan itu dengan menyertakan gambar menunjukkan beliau berdiri di hadapan pintu pejabatnya dengan satu tangan di pemegang.
Kenyataan itu disambut pengguna media sosial yang kecewa kerana tindakan mereka mematuhi PKP digagalkan sendiri oleh pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional.
Antaranya pengguna Facebook dengan nama Man Toba yang berkata pelaksanaan tersebut sepautnya diteliti dengan baik di kalangan anggota Kabinet.
“Dalam kerajaan sesama menteri pun tak boleh bincang elok-elok. Apa benda lah. Kami duduk rumah sia-sia saja lah kan?”
Ada juga pengguna seperti Faiz Rohalim yang masih optimis dan menggesa Ismail untuk menggunakan kuasa bagi melaksana PKP sepenuhnya.
“Masih belum terlambat. Buatlah sesuatu sebab Datuk ada kuasa. Jangan sia-siakan peluang kawapan pergerakan penuh. Ramai rakyat terkesan dan jangan tambah derita mereka,” kata Faiz.
Seorang lagi pengguna, Khairi Ismail meminta menteri Umno yang digelarnya Pak Long itu bertanggungjawab dan meletak jawatan atas kegagalan beliau dan anggota pentadbiran kerajaan.
“Letak saja jawatan Pak Long. Diminta bantu kerajaan semasa pandemik Covid-19 tapi perdana menteri dan menteri lain tidak memberi kerjasama buat apa lagi duduk tempat itu,” katanya.
Ismail Sabri memuat naik foto dan kapsyen itu pada hari kedua pelaksanaan sekatan pergerakan penuh, yang bagaimanapun dikritik umum kerana masih memberi kelonggaran kepada banyak pihak antaranya sektor perkilangan.
Kritikan sama disuarakan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang melihat kawalan tersebut tidak sempurna kerana masih ramai warga keluar rumah.
Kawalan PKP penuh kali ini melarang semua aktiviti sosial dan hanya beberapa aktiviti ekonomi penting dibenarkan beroperasi.
Ia termasuk restoran, gerai makanan, khidmat dobi, jagaan haiwan kesihatan, kedai cermin mata, dan kedai pertukangan.
Selain itu, bengkel kenderaan dan kedai alat ganti, jualan dalam talian serta jualan runcit dan borong bagi barangan keperluan juga dibenarkan beroperasi.
Untuk tempoh ini, 80% kakitangan kerajaan dan 40% kakitangan swasta diarah bekerja dari rumah.
Sehingga hari ini, lebih 95,000 syarikat dibenarkan beroperasi selepas mendapat kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Pusat sehenti seliaan MITI mengeluarkan permit untuk perkhidmatan perlu yang dibenarkan beroperasi sepanjang PKP penuh.
Sejumlah 517,144 syarikat dengan kekuatan 9.67 juta kakitangan berdaftar dengan sistem MITI itu untuk mendapatkan kebenaran beroperasi. – 2 Jun, 2021.
Komen