Mana ada PKP penuh, kata Dr Mahathir


PKP penuh tidak dilaksana dengan baik kerana masih ramai dilihat keluar rumah, kata bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Jun, 2021.

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) penuh tidak dilaksanakan dengan baik kerana masih ramai dilihat keluar rumah, kata bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

“PKP tak penuh sebab masih ramai lalu-lalang. Kalau mahu PKP penuh, buat macam dua minggu pertama pelaksanaan PKP pada Mac tahun lalu.

“Tak ada satu pun kereta di jalan-jalan raya, di dalam bandar tak ada orang berjalan-jalan. Itu penuh, ini bukan penuh,” katanya.

Malah beliau sendiri tidak keluar rumah untuk bekerja kerana mematuhi arahan PKP penuh untuk tempoh 1 hingga 14 Jun, tambahnya.

Kawalan itu dikuatkuasa sebagai langkah mengurangkan semula kadar jangkitan yang meningkat mendadak sejak awal April.

Pada hari ini, sebanyak 7,703 lagi kes baharu dikesan dan menjadikan jumlah 587,165 kes sedang dirawat.

Kawalan PKP penuh kali ini tidak membenarkan apa-apa aktiviti sosial dan hanya beberapa aktiviti ekonomi penting dibenarkan beroperasi.

Ia termasuk restoran, gerai makanan, khidmat dobi, jagaan haiwan kesihatan, kedai cermin mata, dan kedai pertukangan.

Selain itu, bengkel kenderaan dan alat ganti, jualan dalam talian serta jualan runcit dan borong bagi barangan keperluan juga dibenarkan beroperasi.

Untuk tempoh ini, 80% kakitangan kerajaan dan 40% kakitangan swasta diarah bekerja dari rumah.

Sehingga hari ini, lebih 95,000 syarikat dibenarkan beroperasi selepas mendapat kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Pusat sehenti seliaan MITI mengeluarkan permit untuk perkhidmatan perlu yang dibenarkan beroperasi sepanjang PKP penuh.

Sejumlah 517,144 syarikat dengan kekuatan 9.67 juta kakitangan berdaftar dengan sistem MITI itu untuk mendapatkan kebenaran beroperasi. – 2 Jun, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen