2 remaja basikal lajak maut di Pontian, Johor


DUA maut dan dua cedera dilanggar kereta ketika menunggang “basikal lajak” di Pontian, Johor malam tadi. 

Menurut laporan Bernama, mangsa maut ialah Muhammad Amiruddin Abd Majid, 12, dan Ibnu Ahmad Ahmad Naizl, 15, sementara Nur Iqmal Haffiz Abdul Wahab, 14, patah bahu serta Mohammad Nur Hayatuddin Mazli, 14, cedera ringan.

Pemandu kereta Tey Heng Haw, 38, tidak mengalami sebarang kecederaan dan sudah direman empat hari, kata Ketua Polis Daerah Pontian Supt Zakaria Abd Rahman seperti dipetik Bernama.

Ini adalah tragedi kedua melibatkan “geng basikal lajak”. Pada Febuari tahun lalu, lapan remaja maut, lapan lagi cedera selepas dirempuh kereta di Jalan Lingkaran Dalam, Johor ketika sedang berbasikal.

Pemandu wanita kereta yang melanggar mangsa dibebaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangan.

Salah seorang saksi tragedi terbaru itu, Fazli Hashim, 36, yang ditemui Berita Harian Online mengatakan kumpulan remaja itu baru pulang daripada perjumpaan kumpulan kompang di kampung itu.

“Kami nampak arwah bertiga dengan rakannya bermain basikal. Tiba-tiba saya dengar bunyi dentuman dan apabila menoleh, saya nampak sebuah basikal melambung tinggi.

“Saya berlari ke tempat kejadian dan awalnya nampak seorang remaja berdiri dan tidak cedera. Seorang penduduk menyuluh lampu ke parit berhampiran lalu ternampak seorang daripada mereka tertiarap dengan kepala berdarah.

“Seorang lagi remaja ditemui dalam parit agak jauh (tercampak) dari lokasi kejadian. Penduduk segera menghubungi pihak polis bagi melaporkan kejadian,” katanya dipetik akhbar itu.

Nenek Ibnu Ahmad, Bechik Kadasek, 73, pula tidak menyangka gurauan cucunya menjadi kenyataan. 

“Semalam dia ada tanya saya bila datuknya meninggal dan kata dia (cucu) ‘macam nak jalan dulu’.” – 11 Januari, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen