Peniaga Chow Kit kecewa terpaksa hadapi PKP penuh


Alfian Z.M. Tahir

Seorang peniaga pakaian terpakai di Jalan Chow Kit menyusun barangan jualan sementara menanti pelanggan yang berkurangan kerana PKP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Jun, 2021.

PENIAGA kecil di Jalan Chow Kit, kawasan ikonik di tengah ibu kota Kuala Lumpur kecewa dengan perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh yang dikuatkuasakan Putrajaya, selepas beberapa siri perintah sekatan dilaksanakan sebelum ini.

Mereka juga hampa tiada bantuan untuk mereka dan proses imunisasi masih perlahan, ditambah lagi dengan kebimbangan tentang prosedur operasi standard (SOP) yang berubah-ubah dan menambah kesukaran mereka.

Pengerusi Persatuan Peniaga Jalan Chow Kit Baba Sharin berkata Putrajaya nampaknya panik dengan angka kes baharu dan kematian akibat Covid-19, menyebabkan mereka tergesa-gesa mengumumkan perintah sekatan pergerakan terbaru, yang berkuatkuasa mulai hari ini hingga 14 Jun.

Beliau berkata perintah sekatan pergerakan itu sepatutnya dikuatkuasakan lebih awal. Sebaliknya apa yang berlaku sekarang adalah kerana panik, tanpa memikirkan nasib peniaga sepertinya.

Di bawah penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh, hanya perniagaan makanan dan beberapa perkhidmatan penting dibenarkan beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam.

“Bagi kedai baju terpakai macam saya, saya terpaksa tutup kedai.

“Sekarang pemilik kedai baju terpakai terpaksa berniaga di atas talian, tetapi ia tidak begitu berkesan.

“Saya orang tua dan tidak reti guna Facebook atau Instagram. Nasib baik, ada beberapa orang muda mengajar saya cara guna media sosial. Masih boleh berniaga dan dapat duit tetapi tidak seperti dulu,” kata Baba, 60, kepada The Malaysian Insight.

Persatuan peniaga di Jalan Chow Kit mempunyai 530 ahli dan mengadu hampir semua terjejas akibat PKP penuh. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Jun, 2021.

Baba berkata walaupun gerai makanan boleh beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam, tetapi ia tidak menguntungkan.

“Siapa yang hendak datang, memandangkan pihak berkuasa gesa semua orang tidak keluar rumah,” katanya.

Persatuan peniaga di situ mempunyai 530 ahli dan Baba berkata hampir semua terjejas akibat PKP penuh.

“Contohnya peniaga nasi lemak. Mereka hanya dibenarkan berniaga jam 8 pagi, tetapi hakikatnya, orang datang beli nasi lemak seawal 6.30 pagi.

“Lebih pun dengan kebanyakan orang bekerja dari rumah, siapa yang hendak datang ke sini?”

Baba agak popular di sepanjang Jalan Chow Kit. Beliau berniaga di situ sejak lebih 40 tahun lalu.

Katanya, beliau bercakap bagi pihak lebih 500 ahli yang datang mengadu kepadanya tentang perniagaan yang terjejas teruk.

“Peniaga pasar malam menjual sayuran dan barang kering lagi teruk. Mereka buka 4 petang dan tutup 8 malam. Apa yang boleh dibuat? Mereka terpaksa berniaga, jadi dapat duit sikit untuk dibawa pulang.”

Jalan Chow Kit yang biasanya meriah, kini sepi ketika tinjauan The Malaysian Insight baru-baru ini.

Kebanyakan jalan di kawasan sekitar hampir kosong susulan kebanyakan bekerja dari rumah.

Menurut Baba, pada waktu malam jalan di situ lengang.

“Jarang kita lihat suasana seperti itu di Chow Kit. Ini adalah kawasan yang sering dikunjungi, bukan saja penduduk tempatan, tetapi warga asing juga.” – 1 Jun, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen