Mohon surat kebenaran operasi dari MITI, kata MKN


Semua surat kebenaran untuk operasi perniagaan atau pergerakan ke tempat kerja perlu dipohon melalui pusat sehenti di bawah MITI, kata MKN.– Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Mei, 2021.

SEMUA surat kebenaran untuk operasi perniagaan atau pergerakan ke tempat kerja bagi sektor perkhidmatan perlu hendaklah dipohon melalui pusat sehenti di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), kata Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ini berbeza dengan pengumuman semalam iaitu surat kebenaran yang sah akan dikeluarkan oleh kementerian yang berkaitan dengan sektor perkhidmatan mulai esok.

Semalam juga Putrajaya berkata surat kebenaran perjalanan untuk bekerja yang dikeluarkan MITI akan terbatal susulan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh fasa satu yang berkuat kuasa esok 14 Jun.

MKN dalam kenyataan berkata sidang khas dipengerusikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini memutuskan surat kebenaran beroperasi bagi sektor perkhidmatan perlu akan dikeluarkan oleh pusat sehenti yang diselaraskan MITI. 

Kebenaran akan diberi selepas mendapat pengesahan kementerian-kementerian yang mengawal selia sektor berkenaan, katanya.

“Sehubungan itu, permohonan baharu bagi kebenaran perjalanan untuk bekerja perlu dikemukakan semula melalui portal Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0 yang diselaraskan oleh MITI dan melibatkan semua kementerian yang mengawal selia 17 sektor perkhidmatan perlu yang telah dibenarkan beroperasi.”

Sabtu lalu, bekas perdana menteri Najib Razak menggesa Putrajaya tidak memberi kuasa kepada Menteri Kanan Ekonomi Mohamed Azmin Ali menentukan sektor mana yang boleh atau tidak boleh beroperasi semasa sekatan pergerakan penuh.

Najib menerusi catatan di Facebook berkata keputusan menentukan perkhidmatan dan perniagaan perlu bukan penentuan ekonomi semata-mata tetapi perlu dibuat atas asas kesihatan, yang menjadi sebab asal langkah sekatan penuh diambil bagi mencegah penularan Covid-19.

“Kuasa untuk menetapkan senarai sektor dibenar beroperasi dalam  tempoh ‘total lockdown’ ini tidak boleh diletakkan dalam tangan MITI saja.

“Menteri MITI (Azmin) juga tidak boleh diberi kuasa veto untuk memasukkan mana-mana kilang tertentu dalam senarai dibenarkan untuk elak towkay melobi menteri,” katanya. – 31 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen