Surat kelulusan MITI terbatal mulai 1 Jun, kata Ismail Sabri


Ravin Palanisamy Chan Kok Leong

Polis menjalankan pemeriksaan ke atas kenderaan yang cuba melakukan perjalanan merentas negeri.– Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Mei, 2020.

SEMUA surat kelulusan yang dikeluarkan Kementerian Industri dan Perdagangan Antarabangsa (MITI) akan terbatal berkuat kuasa Selasa, kata Ismail Sabri Yaakob.

katanya semua surat kelulusan MITI akan tamat tempoh pada 31 Mei dan pergerakan perjalanan atau kelulusan operasi perlu diperoleh daripada kementerian yang berkaitan.

“Jika mereka bekerja di bidang pertanian, mereka perlu memohon dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.

“Menteri Kanan Kerja Raya (Infrastruktur) Fadillah Yusof akan mempengerusikan mesyuarat penyelarasan berhubung surat kebenaran pergerakan pekerja esok,” katanya pada sidang media mengenai pelaksanaan sekatan pergerakan penuh di sini hari ini.

Di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, MITI meluluskan surat kepada mereka yang perlu melakukan perjalanan rentas daerah atau negeri bagi tujuan ekonomi serta tidak memerlukan kelulusan polis.

Semalam, bekas perdana menteri Najib Razak menggesa kerajaan untuk tidak membiarkan menteri kanan MITI Mohamed Azmin Ali membuat keputusan dalam membenarkan sektor yang beroperasi semasa sekatan pergerakan penuh.

Dalam satu hantaran di Facebook, ahli Parlimen Pekan itu berkata menteri itu tidak wajar diberi kuasa veto dalam membuat keputusan tersebut.

Kata bekas perdana menteri itu senarai sektor yang dibenarkan beroperasi perlu berdasarkan nasihat kesihatan awam memandangkan sekatan pergerakan dibuat demi kepentingan kesihatan awam.

Malaysia akan memulakan sekatan pergerakan penuh pada Selasa selepas kes jangkitan Covid-19 meningkat mendadak sehingga lebih 9,000 kes. – 30 Mei, 2021.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen