MENTERI kanan ekonomi Mohamed Azmin Ali tidak boleh diberi kuasa sepenuhnya untuk menentukan sektor mana yang boleh atau tidak boleh beroperasi semasa sekatan pergerakan penuh, yang bermula Selasa ini, kata bekas perdana menteri Najib Razak.
Najib berkata keputusan menentukan perkhidmatan dan perniagaan perlu bukan penentuan ekonomi semata-mata tetapi perlu dibuat atas asas kesihatan, yang menjadi sebab asal langkah sekatan penuh diambil bagi mencegah penularan Covid-19.
“Kuasa untuk menetapkan senarai sektor dibenar beroperasi dalam tempoh ‘total lockdown’ ini tidak boleh diletakkan dalam tangan MITI saja.
“Menteri MITI (Azmin) juga tidak boleh diberi kuasa veto untuk memasukkan mana-mana kilang tertentu dalam senarai dibenarkan untuk elak towkay melobi menteri.
“Sebab keperluan untuk total lockdown dibuat adalah atas asas kesihatan maka keputusan akhir bagi senarai boleh beroperasi juga mestilah berdasarkan asas kesihatan,” katanya, dalam satu komentar di Facebook, hari ini.
Jelas Najib, tempoh 14 hari fasa pertama sekatan penuh yang bermula Selasa ini “sangat kritikal”.
“So, get it right this time (buat betul-betul kali ini),” tambahnya.
Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang bersidang semalam memutuskan untuk melaksanakan sekatan penuh ke atas semua kegiatan ekonomi dan sosial yang tidak perlu berkuat kuasa antara 1 hingga 4 Jun.
“Sepanjang tempoh ini, semua sektor tidak dibenarkan untuk beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang akan disenaraikan oleh MKN,” kata kenyataan Pejabat Perdana Menteri semalam.
Sekatan penuh ini sama seperti perintah kawalan pergerakan (PKP) kali pertama antara Mac dan Mei tahun lepas, ketika gelombang pertama penularan wabak Covid-19 di seluruh negara.
Keputusan semalam dibuat selepas kes jangkitan baharu Covid-19 mencecah lebih 8,000, menjadikannya rekod kes harian tertinggi sejak kes pertama dikesan pada Januari 2020. – 29 Mei, 2021.
Komen