Unit perubatan lokap bantu henti kes kematian dalam tahanan, kata Suhakam


Elill Easwaran

Unit perubatan seperti klinik kecil di lokap dengan peralatan mencukupi untuk memeriksa tahanan yang dibawa masuk. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Jun, 2021.

KEMUDAHAN perubatan di lokap polis dapat membantu mengangkat isu kematian dalam tahanan, kata Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Jerald Joseph.

Beliau berharap projek perintis yang akan meletakkan unit perubatan di lima lokap polis berpusat di seluruh negara dapat menghalang kes kematian dalam tahanan, terutama yang melibatkan tahanan yang mati kerana masalah kesihatan.

Projek ini dijangka dilancarkan tidak lama lagi di lokap berpusat di Lepas, Jinjang, Shah Alam, Bandar Indera Mahkota dan Kepayan.

Jerald berkata unit perubatan dalaman ini dapat membantu menguruskan tahanan apabila mereka memerlukan rawatan perubatan segera.

Katanya cuma ada dua kemungkinan kematian dalam tahanan - disebabkan penyeksaan dan disebabkan tahanan itu jatuh sakit.

“Walaupun kami syak ini lebih merupakan kes penderaan dan penyeksaan dalam tahanan, hakikatnya tahanan mati setelah jatuh sakit atau kerana keadaan kesihatan mereka,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Unit perubatan itu dijangka seperti klinik kecil di lokap dengan peralatan mencukupi untuk doktor, jururawat dan pembantu untuk memeriksa tahanan yang dibawa masuk.

“Lama-kelamaan, ini akan menghilangkan kecurigaan disebabkan kematian dalam tahanan atau isu penyeksaan,” katanya.

Lama-kelamaan unit ini juga akan membantu menghilangkan kecurigaan orang ramai tentang kematian dalam tahanan, kata pesuruhjaya Suhakam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Jun, 2021.

Tambahnya, dengan unit ini doktor juga dapat mengawasi dan memantau tahanan di bawah jagaan mereka.

“Doktor kemudiannya boleh keluarkan surat menyatakan sama ada tahanan tertentu sesuai atau tidak dimasukkan dalam lokap,” katanya.

Beliau juga percaya jika pegawai polis tidak memanggil doktor ketika tahanan berhadapan masalah kesihatan, pegawai tersebut akan menghadapi masalah seperti dikenakan tindakan tatatertib.

Awal minggu ini, Jerald memberitahu dalam satu sidang media maya, unit perubatan adalah cara terbaik dan standard di banyak negara di mana doktor wajib mengesahkan keadaan kesihatan tahanan.

Tambahnya langkah itu sejajar dengan Peraturan 10, Peraturan-peraturan Lokap 1953, yang menyatakan tahanan harus menjalani pemeriksaan kesihatan oleh pegawai perubatan agar dapat mengesahkan individu tersebut adakah sesuai untuk ditahan.

“Peranan dan fungsi petugas perubatan sangat penting jika kita ingin memastikan jumlah kematian dalam tahanan berkurang,” katanya.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, terdapat laporan mengenai sekurang-kurangnya tiga kematian tahanan di Malaysia.

Suhakam percaya jika pegawai polis tidak memanggil doktor ketika tahanan berhadapan masalah kesihatan, pegawai tersebut akan menghadapi masalah seperti dikenakan tindakan tatatertib. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Jun, 2021.

Awal minggu ini, seorang 21 tahun yang ditangkap atas tuduhan dadah tahun lalu meninggal dunia di hospital Kluang, tidak sampai sebulan setelah dipindahkan ke penjara Simpang Renggam.

Kematian Surendran Shanker berlaku sebulan selepas penjual susu lembu A Ganapathy pada 18 April dan pengawal keselamatan S Sivabalan pada 20 Mei. Kedua-duanya meninggal dunia di hospital setelah ditahan di balai polis Gombak. – 1 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen