.jpg)
KERAJAAN telah mengenal pasti vaksinasi sebagai langkah paling tuntas mengawal penularan wabak Covid-19 sehinggakan sanggup meluluskan pindaan Akta Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) tanpa melalui proses legislatif.
Kesannya, RM6 bilion diambil dari dana awam ini untuk digunakan bagi tujuan vaksinasi sesudah RM3 bilion yang diumumkan dalam belanjawan 2021 hilang entah ke mana.
Sepertimana diumumkan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan YB Khairy Jamaluddin (KJ), pada 28 April 2021 yang lalu, kos bagi pembangunan laman web pendaftaran vaksin Covid-19 mencecah RM70 juta.
Namun, seperti mana dihebahkan dalam media sosial hari ini, laman web semahal ini mengalami kepincangan apabila ditutup selepas sejam setengah berfungsi.
Justeru, YB KJ bertanggungjawab untuk menjelaskan persoalan-persoalan berikut:-
i) Adakah penutupan portal pendaftaran selepas hanya sejam setengah berfungsi telah mencapai pendaftaran hampir 1 juta orang?
ii) Syarikat manakah yang dianugerahkan kontrak bagi membangunkan laman web ini?
iii) Adakah kerajaan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat terbabit kerana gagal melaksanakan terma kontrak dan kewajipan berhati-hati (duty of care)?
iv) Apakah kerajaan bersedia memberikan pampasan kepada rakyat yang mengalami kerugian kerana dinafikan pendaftaran vaksinasi akibat kepincangan laman web ini?
Kerajaan seharusnya lebih efisyen dalam membangunkan kemudahan vaksinasi terutama laman web bagi meningkatkan pemberian vaksin kepada rakyat.
Keluh kesah rakyat akan bahaya wabak Covid-19 ini yang telah meragut 2,369 nyawa rakyat negara ini perlu dileraikan.
Jika laman web ini mengalami kesesakan, mengapa tidak distrukturkan jadual pendaftaran mengikut negeri bagi mengelakkan kesesakan?
Kerajaan hendaklah lebih serius dan komited dalam menjalankan tanggungjawab dan bukannya mengambil enteng dan menganggap jenaka dalam setiap permasalahan yang dihadapi rakyat hari ini. – 26 Mei, 2021.
* Faiz Fadzil merupakan AJK Amanah Nasional
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen