KEMUNGKINAN untuk negara mencapai imuniti kelompok hujung tahun ini bergantung pada varian baharu Covid-19, selain lebih ramai orang telah divaksinasi, kata Khairy Jamaluddin.
“Kami harap proses vaksinasi berada di tahap mendatar sekitar Oktober setelah kita memvaksinasi semua orang yang menawar diri (untuk vaksinasi),” kata menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) pada sidang media mingguan program vaksinasi hari ini.
“Selepas itu, kita kena cari dan kesan semua orang yang belum tawarkan diri,” kata Khairy.
Katanya, keadaan lain pula bergantung pada varian baharu, sama ada ia vaksin dapat merangkumi, melawan varian baharu.
“Setakat pembekalan vaksin, saya yakin kita akan dapat lebih dari cukup untuk melibatkan semua orang pada tahun ini dengan peringatan dua keadaan itu,” tambahnya.
Khairy berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan Muhyiddin Yassin pada Ahad bahawa beliau yakin akan mendapat imuniti kelompok pada hujung tahun ini.
Setakat semalam, 10.85 juta rakyat Malaysia atau 45% daripada mereka yang berumur atas 18 tahun telah mendaftar untuk program vaksinasi Covid-19.
Sebanyak 2.6 juta telah divaksinasi dengan 1.58 juta menerima satu dos manakala 905,000 telah mendapat dua dos.
Di antara mereka yang telah divaksinasi, 1.89 juta dos diberikan kepada mereka yang berusia 60 tahun ke atas.
Malaysia melaporkan jumlah jangkitan baharu paling tinggi hari ini dengan 7,289 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham dalam satu kenyataan berkata jumlah keseluruhan kes adalah 525,889.
Ini kali pertama laporan harian melebihi 7,000.
Selangor paling tinggi dengan 2,642 kes, diikuti Johor dan Kuala Lumpur masing-masing 664 dan 604 kes. – 25 Mei, 2021.
Komen