DOS vaksin AstraZeneca yang tidak digunakan akan diberikan kepada mereka yang berada dalam senarai menunggu atau mereka yang hadir secara langsung, kata Adham Baba.
Menteri Kesihatan berkata ada kes di mana penerima didapati tidak memenuhi syarat setelah penilaian perubatan untuk suntikan atau kes penerima tidak hadir janji temu mereka.
“Kita akan memberi dos kepada mereka yang berada dalam daftar menunggu jika mereka yang dijadualkan menerima suntikan tersebut didapati tidak layak selepas menjalani pemeriksaan perubatan atau terpaksa menangguhkan janji temu mereka, maka yang ‘walk in’ dibenarkan masuk”,” katanya kepada The Malaysian Insight sambil menambah bahawa semua slot sudah ditempah sepenuhnya.
Dr Adham menjawab pertanyaan The Malaysian Insight mengenai dos yang tidak digunakan diberikan kepada mereka yang hadir secara langsung.
Difahamkan, ‘walk in’ dibenarkan di pusat vaksinasi tertentu untuk vaksin AstraZeneca di Kuala Lumpur sekiranya terdapat dos yang tidak digunakan pada penghujung hari.
Adham berkata ini hanya dibenarkan dengan syarat ada calon penerima yang tidak dapat mengambil suntikan tersebut dengan alasan sah pada hari janji temu mereka.
Beliau berkata mereka yang membuat janji temu jumpa terus boleh mendaftar di pusat vaksinasi sekiranya belum buat sedemikian.
“Mereka juga harus mendaftar. Kakitangan akan membantu,” katanya.
Bagaimanapun beliau tidak menyatakan jumlah calon penerima yang gagal hadir di pusat di Lembah Klang sejak program vaksinasi bermula.
Slot imunisasi penuh dalam masa kurang empat jam selepas pendaftaran dibuka pada tengah hari 2 Mei.
Malaysia menerima 268,800 dos vaksin AstraZeneca dari kemudahan Covax pada 23 April.
Vaksin itu dikeluarkan dari Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan utama bagi mengelakkan kebimbangan mengenai keselamatan dan keberkesanannya.
Vaksin yang dihasilkan oleh syarikat Anglo-Sweden menjadi pusat kontroversi berikutan laporan pembekuan darah dan kematian dalam kalangan penerima.
Akibatnya kerajaan memilih untuk memberikan vaksin secara sukarela.
Bagaimanapun kedua-dua pihak berkuasa kesihatan dan antarabangsa berkali-kali berpendapat bahawa vaksin itu selamat serta berkesan.
Vaksin ini diberikan di pusat vaksinasi khas di Kuala Lumpur dan Selangor iaitu Pusat Dagangan Dunia Putra, Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam. – 8 Mei, 2021.
Komen