Program serupa PICK bermula bila vaksin cukup, kata Khairy


Ravin Palanisamy

– Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Mei, 2021.

KEMPEN vaksinasi melibatkan sektor awam dan swasta akan hanya dimulakan apabila bekalan vaksin mencukupi, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.

Beliau menjelaskan dakwaan di media sosial mengenai kewujudan program vaksinasi yang selari dengan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Program digelar Model Imunisasi Kerjasama Awam-Swasta (PPP) dibentuk khas untuk pembuatan dan perkhidmatan berkaitan itu akan menjadi program vaksinasi sokongan dan akan bermula dalam fasa ketiga apabila vaksin mencukupi, kata menteri penyelaras PICK itu menjawab di Twitter.

Beliau turut berkata pendaftaran untuk program itu hanyalah pernyataan minat selain menegaskan ianya belum bermula.

“(Merujuk Program Vaksinasi untuk Pembuatan dan Perkhidmatan Berkaitan), program ini hanya akan bermula bila bekalan vaksin untuk rakyat mencukupi pada fasa ketiga nanti, dan BUKAN ketika vaksin kurang.

“Jika anda teliti, itu cumalah luahan minat. Ia belum bermula,” kata menteri sains, teknologi dan inovasi itu.

Baru-baru ini, Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia mengumumkan dua model vaksinasi Covid-19 akan diperkenalkan bagi mereka di sektor pembuatan dan perkhidmatan berkaitan.

Dikatakan kedua-dua program itu diluluskan berikutan sesi rundingan antara Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) dan persatuan dewan perdagangan pada Isnin (26 April).

Selain model PPP, satu lagi ialah Model Imunisasi Swasta (Permintaan Khas) untuk Pelancong Perniagaan.

Model PPP disasarkan kepada pekerja tempatan dan asing dari sektor perkilangan dan perkhidmatan berkaitan, berdasarkan jumlah minimum 1,500 pekerja.

Dalam ciapan tweet lain, Khairy menjelaskan program itu diperkenalkan bagi membolehkan PICK menawarkan vaksinasi di lokasi dan kilang industri besar.

Katanya dengan itu pekerja tidak perlu ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk mendapatkan suntikan.

“Sebab program ini ada adalah untuk bagi PICK menawarkan vaksinasi di lokasi/ kilang industri besar. Ini akan mengelakkan pekerja kilang ke PPV dan agar vaksinasi dilakukan di situ,” katanya, mengulangi program itu hanya akan bermula apabila vaksin di fasa ketiga mencukupi.

Beberapa pengguna Twitter turut berkongsi tweet mengenai perkara itu hari ini selain mendesak jawapan.

Pengguna @Jimiecheng berkongsi ciapan mempersoalkan jika ada satu lagi program vaksinasi berjalan selari dengan PICK.

Dalam hantaran itu, beliau memuat naik foto pengguna lain mendakwa kakitangan di Genting dan The Mines Resort, termasuk kawan-kawannya telah menerima vaksin mereka.

Hantaran itu telah ditwit semula oleh ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil, menuntut penjelasan Khairy, Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kesihatan, Adham Baba dan juga Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Berkaitan ini, Khairy berkata beliau telah menyemak dengan Pejabat Kesihatan Daerah Petaling dan Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan (JKWPKL) dan mendakwa tidak ada program vaksinasi khas dijalankan.

“Saya telah semak dengan Pejabat Kesihatan Daerah Petaling serta JKWPKL, tak ada program vaksinasi khas untuk kakitangan Mines Resort,” katanya, menambah beliau masih menunggu butiran lanjut mengenai dakwaan seorang rakan itu telah divaksinasi.

Selain itu, selepas Khairy memberi penjelasan mengenai program vaksinasi untuk pembuatan dan perkhidmatan berkaitan, ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming membuat ciapan beliau akan menjangkau kilang-kilang kecil untuk bergabung sumber dan pekerja bagi program PPP di kawasan perindustrian di kawasannya.

Ciapan itu disambut positif dari Khairy, mengucapkan terima kasih kepada ahli parlimen DAP itu selain berkata penting untuk memvaksinasi sektor perindustrian kerana sektor itu menyumbang banyak kluster Covid-19.

“Terima kasih, YB (Yang Berhormat). Ini akan jadi inisiatif penting dalam Fasa Tiga sebab kilang-kilang adalah sumber besar kluster Covid,” katanya. – 7 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen