LRT laluan Kelana Jaya tetap beroperasi, kata Prasarana


Prasarana memaklumkan perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya tetap beroperasi dengan kekerapan dan jumlah penumpang lebih rendah bagi mematuhi PKP 3.0 yang diperketatkan mulai hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Mei, 2021.

PERKHIDMATAN LRT laluan Kelana Jaya tetap beroperasi hari ini dengan kekerapan dan jumlah penumpang lebih rendah, menurut Prasarana Malaysia Bhd.

Pengumuman itu dibuat selepas dua tren bertembung malam tadi yang menyebabkan 213 penumpang cedera dan 47 daripadanya parah.

Menurut Prasarana, langkah mengurangkan penumpang dan kekerapan tren itu bagi mematuhi kawalan pergerakan yang diperketat hari ini bagi mengekang pandemik.

“Kekerapan tren setiap 10 minit pada waktu puncak dan 30 minit pada waktu selainnya, serta pengurangkan kapasiti kepada 50% ...”

Oleh itu para penumpang perlu menunggu lebih lama sedikit daripada waktu biasa dan kekerapan juga akan diubah mengikut keperluan, kata Prasarana.

Waktu puncak dinyatakan sebagai tempoh antara jam 7 hingga 9 pagi dan jam 5 petang hingga 7 malam untuk hari Isnin hingga Jumaat.

Prasarana juga menyediakan lima bas perantara dua tingkat percuma untuk membawa penumpang di antara Stesen Pasar Seni dan Ampang Park.

Susulan kemalangan malam tadi, kerja pembersihan dan pemulihan dijalankan di Stesen KLCC dan sekitarnya untuk mencegah penularan Covid-19, kata Prasarana.

Syarikat itu menjangka perkhidmatan di laluan Kelana Jaya itu akan pulih sepenuhnya dalam masa tiga hari.

Kemalangan pada kira-kira jam 8.45 malam tadi berlaku di dalam terowong bawah tanah di antara stesen Kampung Baru dan KLCC.

Pertembungan dua tren LRT di dalam terowong bawah tanah di antara stesen Kampung Baru dan KLCC malam tadi menyebabkan ramai penumpang yang duduk di bangku dan juga yang berdiri terpelanting dan terjatuh. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 25 Mei, 2021.

Kementerian Pengangkutan mengumumkan laporan penuh mengenai kemalangan pada malam tadi akan dikemukakan dalam masa dua minggu.

Menterinya Wee Ka Siong pada malam tadi berkata, siasatan awal akan menentukan sama ada kemalangan berpunca daripada kelalaian manusia atau masalah teknikal.

Siasatan ke atas aspek teknikal itu akan dijalankan badan bertindak khas yang antara lain akan meliputi sistem tren, semboyan dan juga komunikasi, katanya dalam sidang media.

Siasatan awal pula akan dijalankan Agensi Pengangkutan Awam Darat, katanya.

Menurut Ketua Polis Dang Wangi Mohamad Zainal Abdullah, pertembungan itu melibatkan tren membawa penumpang dan sebuah lagi tren kosong yang sedang dipandu uji.

Katanya tren membawa penumpang bergerak menuju stesen Gombak dari stesen KLCC, manakala tren yang kosong pula menuju stesen Kampung Baru dari stesen terakhir di Gombak.

Dua tren itu dilaporkan bergerak dengan kelajuan 40km sejam dan bertembung di terowong di antara stesen Kampung Baru dan stesen KLCC.

Hasil pertembungan itu, ramai penumpang yang duduk di bangku dan juga yang berdiri terpelanting dan terjatuh.

Kemalangan besar yang menyebabkan kecederaan parah itu pertama kali berlaku sejak perkhidmatan LRT berkenaan dimulakan pada 1998.– 25 Mei, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen