Media Belarus pertahan tindakan henti pesawat, tangkap aktivis


Seorang wanita menunjukkan cetakan kertas tertulis "Di mana Roman" berikutan penangkapan aktivis Roman Protasevich oleh kerajaan Belarus. – Gambar AFP, 24 Mei, 2021.

MEDIA negara Belarus mempertahankan penggunaan jet tentera untuk mengalihkan pesawat penumpang membawa seorang pembangkang, tindakan yang mencetuskan kemarahan pemimpin Barat, mendakwa pihak berkuasa tidak ada pilihan lain.

Pemerintah Alexander Lukashenko membangkitkan kemarahan dunia pada Ahad dengan mengalihkan penerbangan Ryanair FR4978 dari laluan Athens-Vilnius sebelum menangkap salah seorang penumpang, wartawan pembangkang dan blogger Roman Protasevich, di Minsk.

Pemimpin Barat menggelar sebagai “tindakan keganasan negara” dan Kesatuan Eropah dijangka akan menguatkan sekatan terhadap Belarus pada Isnin.

Bagaimanapun pihak berkuasa Belarus berkata pesawat itu perlu membuat pendaratan kecemasan di Minsk berikutan ketakutan adanya ancaman bom.

Lidah separa rasmi presiden melalui aplikasi Telegram berkata walaupun Lukashenko dikritik kerana memaksa pesawat itu mendarat, ia bagaimanapun merupakan tindakan yang tepat.

“Bagaimana sepatutnya kerajaan bertindak balas terhadap ancaman pengganas? Siapa tahu tujuan orang yang lapor ancaman bom? Terutamanya mereka yang mungkin berada dikalangan penumpang?” kata saluran itu lewat Ahad.

“Sekarang bayangkan pesawat ini sengaja ditujukan ke rumah anda. Adakah negara bersalah jika tidak melindungi anda?”

Ancaman bom didapati ancaman palsu.

Televisyen negara Belarus mendakwa pihak berkuasa pada awalnya tidak tahu blogger anti-Lukashenko berada dalam pesawat penerbangan itu.

Ia juga berkata kekasihnya menarik perhatian penguatkuasa Belarus ketika dia mengirim gambarnya kepada blogger lain.

Protasevich, 26, adalah seorang wartawan dan aktivis Belarus.

Bersama dengan pengasas bersama Stepan Putilo, baru-baru ini dia memulakan saluran telegram Nexta menggembleng dan mengarahkan tunjuk perasaan besar-besaran terhadap Lukashenko. – AFP, 24 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen