Aktivis dalam buangan ditahan di lapangan terbang Belarus


Bekas editor saluran Nexta di aplikasi Telegram ditahan kerana disenaraikan pemerintah Belarus sebagai pelampau yang menggugat kerajaan negara itu. – Gambar AFP, 23 Mei, 2021.

SALURAN Telegram pembangkang Belarus Nexta berkata pada Ahad bekas editornya yang juga aktivis pembangkang dalam buangan, Roman Protasevich telah ditahan di lapangan terbang Minsk setelah penerbangannya ke Lithuania membuat pendaratan kecemasan.

Nexta adalah suara utama pembangkang Belarus yang banyak membantu menggerakkan penunjuk perasaan semasa demonstrasi yang menggegar bekas negara Soviet itu tahun lalu.

Penunjuk perasaan menuntut peletakan jawatan Alexander Lukashenko, yang telah memerintah Belarus selama lebih dari dua dekad dan pada Ogos memperoleh kemenangan besar dalam pilihan raya yang disebut lawannya sebagai penuh penipuan.

Protasevich dalam perjalanan dengan penerbangan Ryanair dari Athens ke Vilnius, membuat pendaratan kecemasan berikutan ancaman bom, lapor agensi berita TASS yang memetik perkhidmatan akhbar lapangan terbang Minsk.

“Pesawat itu diperiksa, tidak ada bom dijumpai dan semua penumpang telah dikeluarkan bagi membuka laluan kepada usaha pencarian keselamatan lain,” kata Nexta.

“Antaranya ialah… Wartawan Nexta, Roman Protasevich. Dia ditahan.”

Tambahnya Protasevich berkata beliau telah diikuti sebelum menaiki penerbangan.

Tahun lalu, Protasevich, 26 tahu itu dan pengasas Nexta Stepan Putilo, 22, telah disenaraikan Belarus sebagai “individu yang terlibat dalam kegiatan pengganas.”

Kedua blogger yang menetap di Poland itu dimasukkan ke dalam senarai atas tuduhan terdahulu kerana menimbulkan rusuhan besar-besaran, kesalahan yang boleh menyebabkan hukuman penjara hingga 15 tahun.

Mereka juga menghadapi tuduhan menghasut kebencian terhadap pemerintah dan pegawai undang-undang, selain ditambahkan ke dalam senarai dikehendaki antarabangsa di Belarus dan di Rusia, sekutu Lukashenko.

“Terang lagi bersuluh ini adalah operasi rahsia menahan pesawat itu untuk menangkap aktivis dan blogger Roman Protasevich,” kata pemimpin pembangkang dalam buangan, Svetlana Tikhanovskaya melalui Telegram.

Tikhanovskaya dan Nexta berkata, Protasevich boleh menghadapi hukuman mati di Belarus.

Pada Oktober, Belarus melabel saluran Telegram Nexta dan logonya sebagai  pelampau dan mengarahkannya disekat. Sebarag perkongsian semula maklumat dari saluran itu akan dihukum denda. – AFP, 23 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen