Pesakit Covid-19 umpama lemas di daratan, kata doktor


Ragananthini Vethasalam

Orang ramai tidak boleh memandang ringan jangkitan Covid-19 terutama ketika negara menyaksikan jumlah kes harian tinggi yang belum pernah terjadi sebelum ini. – Gambar EPA, 21 Mei, 2021.

SEPERTI kelemasan. Begitulah perasaan pesakit Covid-19 dengan jangkitan serius ketika bergelut untuk bernafas.

Itulah pemerhatian Profesor Madya Dr Tan Toh Leong yang merawat pesakit serius Covid-19 setiap hari di jabatan kecemasan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia.

Tan memutuskan untuk bersuara mengenai penderitaan pesakit Covid-19 kerana berasa orang ramai masih memandang ringan terhadap pandemik, menganggapnya seperti demam atau selesema biasa.

Beliau mengingatkan orang ramai jangkitan Covid-19 tidak boleh dipandang ringan terutama ketika negara menyaksikan jumlah kes harian tinggi yang belum pernah terjadi sebelum ini.

“Anda tahu bagaimana rasanya… lemas? Bila paru-paru penuh dengan air yang tak dapat dikeluarkan?” katanya kepada The Malaysian Insight ketika menjelaskan betapa serius penyakit ini.

“Anda harus melihat bagaimana keadaan pesakit secara berhadapan, barulah anda akan faham apa yang saya cakapkan.

“Mata mereka jadi besar sewaktu bergelut untuk bernafas, wajah mereka pucat dan tak dapat bercakap. Ada yang cuma dapat minta oksigen kepada doktor, kadang-kadang cengkaman tangan mereka sangat kuat,” kata Tan.

Katanya, ia tidak tamat di situ kerana pesakit juga harus melalui kesakitan dimasukkan wayar dan tiub sebagai sebahagian daripada prosedur.

“Anda tidak mahukannya… anda betul-betul tak mahu ia berlaku,” katanya.

“Kami berasa kasihan kepada mereka ketika mereka sakit. Kamilah yang dapat melihat penderitaan mereka tapi tidak banyak yang dapat kami bantu,” kata Tan.

Beliau juga menerangkan bagaimana pesakit Covid-19 yang hampir maut melalui saat-saat terakhir mereka.

Kadang-kala mereka cuma dapat bersama orang tersayang melalui panggilan video. Orang tersayang tidak dapat bersama di saat-saat akhir mereka.

Tan berkata, selalunya doktorlah yang membacakan doa terakhir untuk pesakit yang berada di ambang maut kerana mereka jugalah yang terakhir bersama-sama.

Katanya walaupun jumlah kematian mungkin kelihatan rendah, itu bukan sesuatu yang patut dipandang ringan, memandangkan terdapat peningkatan dari segi jumlah korban.

“Saya jujur ​​dengan orang ramai. Mereka patut faham Covid-19 bukanlah benda ringan,” katanya.

“Kadar kematian 0.4% dengan jumlah yang meningkat setiap hari masih memberi kesan. Mungkin kita atau orang yang kita sayang termasuk dalam statistik itu,” katanya.

Tan berkata doktor tidak mahu dipaksa memilih siapa yang patut hidup atau tidak memandangkan sumber terhad namun perkara seperti itu mungkin tidak dapat dielakkan jika sistem kesihatan runtuh.

Dr Tan Toh Leong kesal masih ramai yang memandang ringan terhadap pandemik, menganggapnya seperti demam atau selesema biasa. – Gambar ihsan Dr Tan Toh Leong, 21 Mei, 2021.

Mengulas lanjut mengenai jumlahnya, beliau berkata lebih 20,000 kes baharu dilaporkan dalam empat hari terakhir, bermaksud terdapat 20,000 pesakit baharu yang memerlukan rawatan.

Setakat ini, Tan berkata tiada ubat untuk menyembuhkan Covid-19 dan rawatan yang diberikan adalah bagi membantu pesakit melawan virus, yang mana ia bergantung pada sistem imun pesakit untuk melawan virus.

Katanya, walaupun Kementerian Kesihatan bekerja keras melawan virus, masyarakat juga harus bekerjasama menjalankan tugas mereka.

Katanya orang ramai perlu duduk di rumah sebanyak mungkin dan jika varian berjangkit baharu muncul atau jika kes harian mencapai 10,000, ia akan memakan masa berbulan-bulan lamanya untuk turun menjadi 1,000 kes harian.

“Akan jadi macam Wuhan atau India,” kata Tan.

“Jika mereka tidak mampu duduk di rumah selama setahun, maka kita akan buntu sebab virus ini tidak peduli siapa yang dijangkiti,” katanya, menambah perintah pergerakan pernuh mungkin membantu.

Katanya vaksinasi adalah harapan terakhir. Namun, setelah divaksinasi, jika orang ramai masih melakukan aktiviti mereka dengan tanpa ikut SOP, varian baharu dapat dibentuk dan sasaran untuk mencapai imuniti kelompok akan terganggu.

“Ini bermaksud kita kena mula dari awal,” katanya.

Tan berkata seseorang hanya dapat berharap virus itu hilang dengan sendiri, penyembuhan dijumpai, atau orang berjaya capai kekebalan imuniti.

Peringatannya itu muncul ketika negara mencatat lebih 6,000 kes selama dua hari berturut-turut, pertama kali sejak pandemik bermula pada Januari 2020.

Katil di unit rawatan rapi (ICU) penuh dengan cepat, hospital berebut menggunakan semula ruang untuk membuka unit dan wad ICU baharu.

Semalam, 6,806 kes baharu dilaporkan manakala kes aktif meningkat kepada 50,171

Sebanyak 59 kematian turut dilaporkan semalam, menjadikan jumlah kematian kepada 2,099. – 21 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen