KP kesihatan tunjuk sokongan PKP penuh


Kes Covid-19 masih meningkat walaupun PKP 3.0 dikuatkuasakan bermula 12 Mei hingga 7 Jun depan menyebabkan menteri kesihatan memberi amaran kemungkinan PKP penuh akan dikuatkuasakan. - Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Mei, 2021.

KETUA Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memberi bayangan kemungkinan perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh akan dikuatkuasakan, menerusi akaun Twitter malam tadi.

Pengguna @izwnnrdn berkata:”Kapasiti sistem penjagaan kesihatan sudah penuh. Amat perlu dan mesti kuatkuasakan perintah berkurung sepenuhnya!”

Dalam tweet itu, pengguna berkenaan turut tag kepada Kementerian Kesihatan (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Dr Noor Hisham dan Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.

Awal hari ini, Dr Noor Hisham turut tweet berkenaan rakyat Taiwan yang melakukan “lockdown” kendiri.

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba semalam memberi amaran Selangor akan dikenakan PKP penuh jika angka kes Covid-19 tidak dapat dikekang lagi.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan berkenaan kes Covid-19 yang masih meningkat di Selangor walaupun PKP 3.0 dikuatkuasakan.

Selama 25 hari berturut-turut, Selangor mendaftarkan jumlah kes jangkitan harian tertinggi.

Semalam, Malaysia merekodkan jumlah kematian tertinggi sejak pandemik bermula iaitu 45 kes dan 522 pesakit di unit rawatan rapi.

Jumlah kematian di negara ini kini 1,947.

Jabatan Forensik di Hospital Sungai Buloh pada masa ini menyediakan lebih banyak kontena untuk menempatkan jenazah pesakit Covid-19. – 18 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen