Pulau Pinang minta Putrajaya lulus segera ujian saringan guna sampel air liur


Pekerja asing di semua sektor, seperti pembinaan, pembuatan, sektor komersil termasuk restoran diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19.– Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Mei, 2020.

KERAJAAN Pulau Pinang memohon kerajaan persekutuan agar segera meluluskan ujian saringan Tindak Balas Berantai Polimerase (RT-PCR) Covid-19 yang menggunakan sampel air liur untuk pekerja sektor perkilangan di negeri itu.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata pelaksanaan ujian RT-PCR menerusi kaedah ‘deep throat saliva’ (DTS) itu adalah untuk saringan massa atau ‘mass testing’ dalam kalangan pekerja sektor perkilangan.

“Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) Pulau Pinang telah mengemukakan cadangan berkenaan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 7 Mei lepas.

“Adalah wajar ia diluluskan kerana kaedah berkaitan turut dicadangkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan pada mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara: Pengurusan Covid-19 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri pada 10 Mei lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Chow berkata berdasarkan trend laporan kes yang dicatat di Pulau Pinang kini, adalah wajar supaya penyumberan sumber manusia daripada sektor swasta atau lain-lain lapangan berkaitan dipergiatkan terutamanya dalam mempercepat pengesanan kontak serta kes-kes di lapangan. 

“Selain segera mengasingkan pesakit positif Covid-19, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang perlu mengambil tindakan drastik terhadap aspek dinyatakan dengan memberikan latihan perlu kepada mereka yang terpilih supaya keupayaan fasiliti perubatan sedia ada kini tidak lumpuh sepenuhnya,” katanya.

Pulau Pinang mencatatkan penurunan kes baharu Covid-19 apabila 187 kes direkodkan hari ini berbanding 338 kes semalam, menjadikan jumlah kumulatif di negeri itu kini 23,591 kes. – Bernama, 16 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen