Pemuda Bersatu tolak pelan damai Palestin-Israel


Ketua pergerakan Armada Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendesak Israel didakwa atas tuduhan jenayah perang di Mahkamah Jenayah Antarabangsa di The Hague. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Mei, 2021.

PEMUDA Bersatu menentang pelan damai membentuk dua negara berdaulat – Palestin dan Israel – yang disebut pemimpin pergerakan itu sebagai satu mimpi.

Ketua pergerakan Armada Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata pelan tersebut perlu ditolak dan Malaysia perlu memujuk negara lain agar mendukung pendirian serupa.

Beliau mahu kerajaan Malaysia bersikap demikian kerana melihat rejim Israel tidak menghormati pelan berkenaan dengan serangan dan penindasan yang berterusan pada waktu ini.

“Kerajaan Malaysia juga harus meyakinkan negara-negara lain untuk menyemak kembali pendirian mereka terhadap penyelesaian dua negara lebih-lebih lagi jika Israel sendiri tidak menghormatinya ...” katanya.

Katanya rejim Israel pada masa ini masih meneruskan penaklukan dan tindakan zalim di wilayah Palestin.

Dalam kenyataannya, Wan Ahmad Fayhsal juga mendesak Israel didakwa atas tuduhan jenayah perang di Mahkamah Jenayah Antarabangsa di The Hague.

Sokongan ke atas pelan damai itu bagaimanapun disebut Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebagai pendirian rasmi kerajaan Malaysia, dalam kenyataannya sebagai sebagai perdana menteri.

Ucapan dalam bahasa Inggeris itu menyebut, Malaysia menyokong pelan damai dua negara yang menjamin keadilan dalam agihan untuk kawasan penempatan.

Muhyiddin menyebut, Malaysia juga menyokong usaha menjadikan Jerusalem ibu negara Palestin sebagai “satu-satunya penyelesaian yang berdaya maju ke atas konflik Palestin-Israel”.

Perdana menteri juga menegaskan sokongan bagi penyelesaian mengikut undang-undang melalui rundingan dan resolusi Perrtubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Pada masa sama, beliau menegaskan sokongan Malaysia ke atas perjuangan Palestin dari segi politik, ekonomi dan moral.

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad juga menegaskan pendirian serupa dan menyatakan keyakinan bahawa pelan pembentukan dua negara itu satu-satunya jalan untuk perdamaian.

Dr Mahathir yang mengutuk siri serangan terbaharu sejak minggu lalu ke atas penduduk Palestin berkata beliau percaya dengan pelan itu walau amat kecewa dengan keganasan yang diteruskan rejim Israel.

“Saya masih berharap penyelesaian dua negara itu satu-satunya penyelesaian yang dapat dilihat dan kita perlu berusaha untuk menjadikannya kenyataan.

“Mungkin itulah satu-satunya harapan untuk menamatkan konflik ini, kecuali tiba-tiba orang pihak Israel ada hati perut,” katanya dalam satu ucapan disiar langsung. – 16 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen