Biar kerajaan negeri peroleh vaksin sendiri, kata Sarawak


Desmond Davidson

Disebabkan pembekalan vaksin "tidak seperti dijangkakan" Masing memohon Putrajaya membenarkan negeri yang ada dana untuk dapatkan vaksin sendiri. – Gambar EPA, 14 Mei, 2021.

PUTRAJAYA dan Kementerian Kesihatan tidak boleh meletakkan terma atau syarat di negeri-negeri seperti Sarawak yang mahu mendapatkan sendiri vaksin Covid-19 terus dari sumbernya, kata James Masing.

Wakil Menteri Besar Sarawak itu berkata semenjak pembekalan vaksin kepada Sarawak di bawah aturan kini “tidak seperti yang kita jangkakan”, maka kerajaan persekutuan perlu membenarkan kerajaan negeri dan negeri yang memiliki dana untuk mendapatkan sendiri bekalan dari mana-mana sumber antarabangsa.

Beliau turut berkata klinik dan farmasi “diiktiraf” juga perlu diberi izin, tanpa sekatan untuk mendapatkan vaksin sendiri.

“Masa sukar ini perlukan keputusan tegas. Kami ingin wujudkan imuniti kelompok di Sarawak secepat mungkin.

“Permintaan untuk divaksinasi lebih dari bekalan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Masing berkata pertimbangan ekonomi tidak boleh dijadikan faktor oleh Putrajaya ketika membuat keputusan untuk membenarkan perolehan oleh kerajaan negeri atau sektor swasta.

“Kesihatan rakyat mesti diutamakan berbanding pertimbangan ekonomi,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata vaksin Covid-19 mesti disenaraikan sebagai ubat terkawal dan dikenakan had harga, jika ianya ditawarkan secara peribadi kepada orang ramai.

Penguatkuasaannya harus sangat ketat, tambahnya, dan orang yang mengambil kesempatan harus dikenakan hukuman berat.

Masing berkata jika cadangannya dilaksanakan, Malaysia mungkin dapat meratakan lengkuk dan ancaman Covid-19 dapat dibendung.

“Amerka Syarikat telah buat dengan melancarkan vaksin mereka dengan cepat. Kini penggunaan pelitup muka di AS tidak lagi wajib.

“Sekiranya AS dengan lebih dari 200 juta orang dapat buat, tidak ada alasan kenapa Sarawak dengan 2.8 juta tak dapat buat juga.

“Kami ada dana. Tolong benarkan kami gunakannya untuk kepentingan rakyat kami.”

Sarawak telah menetapkan sasaran untuk memvaksinasi 2.2 juta orang, termasuk penduduk asing, pada akhir bulan Ogos.

Ketua Menteri Abang Johari Openg menekankan beberapa kesulitan dihadapi kerajaan Sarawak dalam usaha mendapatkan bekalan vaksin yang mencukupi dalam perutusan Aidilfitri.

Katanya kerajaan negeri perlu mendapatkan kebenaran kerajaan persekutuan dan agensi berkaitan sebelum permohonan bekalan vaksin dapat dibuat.

Sebagai tambahan, katanya, kerajaan negeri juga perlu mendapatkan izin kerajaan persekutuan untuk mewartakan hospital swasta, terutama yang berada di kawasan bandar, sebagai pusat vaksinasi untuk mempercepat proses imunisasi.

Abang Johari berkata dengan begitu banyak nyawa terkorban di Sarawak, keutamaan kerajaan negeri adalah memerangi Covid-19.

Sehingga semalam, 214 warga Sarawak maut akibat Covid-19. – 14 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen