Kerajaan tidak abai pesakit bukan Covid-19, kata menteri


Ragananthini Vethasalam

KKM tidak abai rawatan pesakit bukan Covid-19 walaupun sumber kesihatan negara mengalami tekanan akibat peningkatan kes Covid-19, kata menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Mei, 2021.

PUTRAJAYA membelanjakan hampir RM37 juta sejak tahun lalu bagi menampung pesakit bukan Covid-19 dari hospital kerajaan ke institusi swasta supaya rawatan dan penjagaan mereka tidak terjejas, kata Dr Adham Baba.

Menteri kesihatan itu berkata kementerian tidak mengabaikan rawatan pesakit bukan Covid-19 walaupn sumber kesihatan negara mengalami tekanan akibat peningkatan kes wabak itu.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight RM36.9 juta diperuntukan ke 35 hospital sejak 2020 di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) dengan tujuan menampung 14,708 prosedur ke 53 hospital swasta.

“Walaupun kes Covid-19 meningkat dan memberi tekanan kepada hospital awam, pesakit bukan Covid-19 tidak pernah diabaikan,” katanya.

“Keperluan mereka tetap diambil kira walaupun hospital di bawah KKM bersedia menghadapi peningkatan kes wabak itu.”

Terdapat 146 hospital awam dengan lapan daripadanya digunakan sepenuhnya sebagai hospital Covid-19 manakala 68 lagi secara hibrid iaitu menerima pesakit Covid-19 dan bukan pesakit virus tersebut.

Dr Adham berkata KKM juga menampung kos perubatan bagi kes akut, sub-akut dan rawatan kes kemalatan.

“Langkah ini bagi memastikan pesakit bukan Covid-19 menerima perhatian perubatan segera,” katanya.

“Ini juga bagi membantu mengelakkan komplikasi dan mengurangkan kesakitan pesakit serta kematian.”

Hospital swasta disenarikan untuk mengambil kedua-dua kes Covid-19 dan bukan Covid-19 bagi meringankan beban hospital awam.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah baru-baru ini memaklumkan pengarah hospital kerajaan agar bersedia menghadapi peningkatan jumlah kes Covid-19 dengan simptom yang serius.

Dalam satu surat bertarikh 7 Mei yang dilihat The Malaysia Insight, Dr Noor Hisham memberi beberapa sebab keadaan itu berlaku termasuk kadar kebolehjangkitan yang tinggi iaitu 1.07 di seluruh negara, musim perayaan, kekurangan vaksi dan populasi tinggi di beberapa kawasan.

Beliau berkata lebih banyak kes akan melibatkan simptom 3, 4 dan 5, dengan kumpulan warga emas dan mereka yang mempunyai penyakit kronik berdepan risiko paling tinggi. – 14 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen