SEORANG lelaki ketiga ditangkap berikutan cubaan membunuh bekas presiden Maldives, Mohamed Nasheed, kata polis pada Ahad, ketika mereka memperbaharui rayuan untuk mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai suspek lain.
Pelopor demokrasi dan aktivis iklim itu cedera parah setelah serangan bom di Male pada malam Khamis, turut mencederakan seorang warga Britain dan dua lain, polis menyalahkan “pelampau agama”.
“Kami dapat mengesahkan individu ketiga telah ditangkap berkaitan dengan serangan 6 Mei awal hari ini,” kata polis dalam satu kenyataan.
Tidak ada keterangan lanjut mengenai lelaki itu dikeluarkan.
Polis juga memohon lebih banyak maklumat mengenai lelaki lain yang dilihat di kawasan tempat di mana sebuah motosikal diletakkan bom.
Pemilik motosikal dan seorang lelaki lain ditangkap pada Sabtu.
Bom meletup ketika Nasheed berjalan ke keretanya.
Anggota keluarga menulis tweet bekas presiden berusia 53 tahun itu, yang kini menjadi speaker parlimen, tinggal di unit rawatan rapi di sebuah hospital.
Bagaimanapun beliau sudah boleh berbicara dengan saudara terdekat pada Sabtu setelah tidak lagi memerlukan alat bantuan pernafasan, tambah mereka. Tidak ada maklumat terkini mengenai keadaannya dari hospital.
Dalam laporan pertamanya mengenai percubaan pembunuhan, Pasukan Pertahanan Nasional Maldives (MNDF) mengatakan bom buatan sendiri telah digunakan.
“Alat peledak buatan itu dipicu menggunakan alat kawalan jauh,” kata seorang pegawai MNDF kepada wartawan di ibu kota Male.
Bom itu diletupkan dari motosikal yang diparkir berhampiran kereta Nasheed.
Presiden Ibrahim Mohamed Solih mengucapkan terima kasih kepada pasukan perubatan Nasheed selain berkata beliau berdoa untuk “pemulihan dan kepulangannya dengan segera - lebih kuat dan lebih mantap daripada sebelumnya”.
Nasheed lantang bersuara mengenai pentingnya membawa 72 orang ke mahkamah kerana disyaki terlibat dalam kes curi bernilai AS$90 juta berlaku ketika pemerintahan bekas presiden Abdulla Yameen.
Nasheed mengakhiri pemerintahan satu parti selama beberapa dekad dan menjadi presiden pertama dipilih secara demokratik pada 2008. Beliau digulingkan dalam rampasan kuasa disokong tentera pada 2012.
Beliau juga dikenali diperingkat antarabangsa kerana lantang memerangi perubahan iklim dan kenaikan permukaan laut yang menurutnya mengancam menenggelamkan negara dengan 1,192 pulau kecil.
Nasheed dilarang bertanding dalam pilihan raya presiden 2018 kerana disabitkan dengan keganasan setelah dikeluarkan dari pejabat.
PBB telah menyatakan ianya bermotifkan politik.
Namun, beliau kembali dari pengasingan di Britain, dan partinya memenangi pilihan raya pada 2019 dan beliau kini menjadi speaker Parlimen. – AFP, 9 Mei, 2021.
Komen