Bekas presiden Maldives cedera, selamat dalam cubaan bunuh


Nasheed cedera parah apabila peranti dilekatkan pada motosikal diletupkan ketika beliau masuk ke dalam sebuah kereta di ibu negara lewat Khamis, kata seorang pegawai. – Gambar AFP, 7 Mei, 2021.

BEKAS presiden Maldives Mohamed Nasheed menjalani pembedahan pada Jumaat berikutan percubaan membunuhnya.

Beliau bagaimanapun, digambarkan masih stabil.

Pemimpin dipilih secara demokratik di kepulauan Lautan Hindi cedera parah apabila peranti dilekatkan pada motosikal diletupkan ketika beliau masuk ke dalam sebuah kereta di ibu negara lewat Khamis, kata seorang pegawai.

“Nasheed melarikan diri dari percubaan pembunuhan,” kata seorang pegawai kerajaan Maldives kepada AFP. “Beliau cedera, tapi keadaannya stabil.”

Hospital swasta berkata politikus berusia 53 tahun itu perlu dibedah lagi berikutan penilaian menyeluruh keadaannya.

Hospital itu tidak memberikan butiran lanjut, bagaimanapun ahli keluarganbya berkata serpihan telah dikeluarkan dari paru-parunya.

“Kami berharap beliau pulih sepenuhnya,” katanya, menambah Nasheed responsif dan bercakap dengan doktor. Salah seorang pengawalnya juga dibawa ke hospital.

Pegawai berkata motosikal dengan peranti telah diletakkan di lorong menuju ke rumah Nasheed.

Presiden Ibrahim Mohamed Solih, sekutu dekat Nasheed, berkata siasatan sedang dijalankan ketika ini dengan para pegawai bergegas mengutuk serangan disasarkan ke atas orang kedua paling berpengaruh di negara itu.

“Serangan pengecut seperti ini tidak ada tempat dalam masyarakat kita,” kata Menteri Luar, Abdulla Shahid dalam tweet. – AFP, 7 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen