POLIS Maldives telah menahan dua orang kerana cubaan membunuh bekas presiden Mohamed Nasheed, kata pegawai dan saudara pada Sabtu.
Negara di Lautan Hindi itu telah meminta bantuan antarabangsa menyiasat serangan bom pada Khamis menyebabkan pelopor demokrasi dan aktivis iklim itu dibedah selama 16 jam bagi mengeluarkan serpihan dari paru-paru, hati, dada, perut dan anggota badannya.
Polis berkata dua orang telah ditangkap bagaimanapun tidak memberikan perincian lanjut.
Mereka mencari empat suspek yang berada di sekitar tempat kejadian pada malam Khamis ketika Nasheed hendak memasuki keretanya.
Pegawai Polis Persekutuan Australia dan dua pakar dari Pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai Dadah dan Jenayah dijangka menyertai siasatan pada Sabtu.
Ahli politik berusia 53 tahun, yang kini menjadi pemimpin kedua terkuat di Maldives sebagai speaker Parlimen, bercakap dengan keluarganya mengatakan beliau “jauh lebih baik”, kata adiknya Nashida Sattar.
“Para doktor sangat gembira dengan pemulihannya,” tambah saudaranya Ibrahim Nasheed.
“Beliau kini bernafas sendiri. Saya berjaya bersembang dengannya. Beliau berjanji akan kembali kuat dan saya percaya.”
Dalam laporan pertamanya mengenai percubaan pembunuhan, Pasukan Pertahanan Nasional Maldives (MNDF) mengatakan bom buatan sendiri telah digunakan.
“Alat peledak buatan itu dipicu menggunakan alat kawalan jauh,” kata seorang pegawai MNDF kepada wartawan di ibu kota Male.
Bom itu diletupkan dari motosikal yang diparkir berhampiran kereta Nasheed.
Presiden Ibrahim Mohamed Solih mengucapkan terima kasih kepada pasukan perubatan Nasheed selain berkata beliau berdoa untuk “pemulihan dan kepulangannya dengan segera - lebih kuat dan lebih mantap daripada sebelumnya”.
Belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab atas serangan itu, namun para pegawai dari Parti Demokrat Maldivian (MDP) Nasheed menganggap ianya ada kena mengena dengan politik.
Nasheed lantang bersuara mengenai pentingnya membawa 72 orang ke mahkamah kerana disyaki terlibat dalam kes curi bernilai AS$90 juta berlaku ketika pemerintahan bekas presiden Abdulla Yameen.
Nasheed mengakhiri pemerintahan satu parti selama beberapa dekad dan menjadi presiden pertama dipilih secara demokratik pada 2008. Beliau digulingkan dalam rampasan kuasa disokong tentera pada 2012.
Beliau juga dikenali diperingkat antarabangsa kerana lantang memerangi perubahan iklim dan kenaikan permukaan laut yang menurutnya mengancam menenggelamkan negara dengan 1,192 pulau kecil.
Nasheed dilarang bertanding dalam pilihan raya presiden 2018 kerana disabitkan dengan keganasan setelah dikeluarkan dari pejabat.
PBB telah menyatakan ianya bermotifkan politik.
Namun, beliau kembali dari pengasingan di Britain, dan partinya memenangi pilihan raya pada 2019 dan beliau kini menjadi speaker Parlimen. – AFP, 8 Mei, 2021.
Komen