Gerakan lebih bebas bersama Perikatan banding BN, kata Dominic Lau


Mohd Farhan Darwis

Presiden Gerakan Dominic Lau berkata a dalam Perikatan tiada istilah pengikut sebaliknya semua parti komponen dianggap sebagai rakan kongsi sama rata. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Mei, 2021.

PARTI Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dapat layanan lebih adil dan bebas bersama Perikatan Nasional (PN) berbanding semasa ia menyertai gabungan Barisan Nasional (BN), kata presidennya Dominic Lau.

Lau berkata dalam PN tiada istilah pengikut sebaliknya semua parti komponen dianggap sebagai rakan kongsi sama rata.

“Dalam suasana mesyuarat PN semua suara komponen parti didengar dan kami boleh beri pandangan dan cadangan untuk rakyat dan PN. 

“Sebagai komponen parti semua suara didengar dan cadangan diterima dan dibincang PN di peringkat pusat. Ini perbezaan kita ada dalam PN. 

“BN dulu kuranglah,” katanya, ketika ditemui pemberita di Kuala Lumpur, malam tadi.

Lau juga berkata Gerakan lebih bebas memohon untuk bertanding di mana-mana kerusi dalam pilihan raya bersama PN.

Beliau menjelaskan sebagai gabungan baharu, rundingan kerusi antara parti komponen juga lebih terbuka tanpa terikat dengan penetapan kuota tertentu untuk setiap parti.

“Kita tiada kerusi tradisional lagi. Dahulu (bersama BN) ada (agihan kerusi tradisi), Gerakan bertanding 12 kerusi Parlimen dan 33 kerusi negeri. 

“Sekarang ini belum ada (kerusi) tradisi lagi. Siapa ada peratusan menang di kawasan itu dia akan jadi calon untuk menangkan PN.

“Ini norma baharu yang kita setuju, asalkan nak menang Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang,” kata Lau.

Jelas Lau, walaupun ada pertindihan hasrat untuk bertanding di satu-satu kerusi, namun fokus PN ialah untuk menang pilihan raya nanti.

“Dalam satu gabungan PN ada lima komponen, semua komponen parti ada kawasan yang mereka ingin tanding tapi kerusi itu kemungkinan ada parti lain PN nak juga. 

“Tapi ini bukan isu, isunya siapa boleh menang. Ini keutamaan. Kita tak peduli siapa komponen yang mewakili PN di kawasan tertentu tapi calon boleh menang keutamaan kita,” katanya.

PN dianggotai Bersatu, PAS, Gerakan, dan dua parti di Sabah iaitu Star dan SAPP.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Gerakan kalah semua 11 kerusi Parlimen dan 31 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandinginya.

Gerakan disahkan menyertai PN pada Februari lalu selepas parti itu keluar BN hampir dua bulan selepas tewas dalam PRU14.

Tarik anak muda

Menurut Lau, dalam PN Gerakan diberi peranan untuk menarik sokongan anak muda terutamanya pengundi dari segmen bukan Melayu dan bukan Islam.

“Di Semenanjung, Bersatu dan PAS mainkan peranan untuk tarik sokongan kaum Melayu dan Islam. Gerakan mainkan peranan tarik sokongan segmen bukan Islam dan bukan Melayu.

“Kita akan sentiasa buat pertemuan dengan pengundi bukan Islam dan bukan Melayu, mendengar cadangan mereka.

“Seperti dijanjikan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, sebagai parti komponen kita nak pastikan kemenangan PN dalam PRU15,” kata Lau lagi.

Bersatu juga mempunyai sayap untuk calon bukan Melayu dan Islam yang diwujudkan selepas penyertaan kumpulan serpihan PKR yang diketuai bekas presiden Mohamed Azmin Ali.

Dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, Gerakan bertanding atas tiket sendiri dengan mencalonkan Ketua Wanita Kebangsaan Wendy Subramaniam, namun tewas.

Menyedari perkara itu, Lau berkata Gerakan sedar mereka tidak boleh bergerak sendirian dan memerlukan sebuah gabungan politik.

Tambahnya lagi, kelebihan PN adalah gabungan itu mempunyai rekod bebas rasuah berbanding gabungan BN dan Pakatan Harapan (PH).

“Kita ada rekod, uruskan Pulau Pinang selama 39 tahun. Tunjukkan kes mahkamah, tiada, tetapi 13 tahun DAP di Pulau Pinang ada kes mahkamah.

“Antara dua gabungan, PH dan BN masing-masing ada kes di mahkmah, PN belum ada lagi.

“Bersama PN peluang lebih baik untuk Gerakan berbanding BN,” tambah Lau.

Gerakan makin faham PAS

Mengenai kerjasama dengan PAS dalam PN, Lau juga berkata, Gerakan sekarang lebih lunak dengan PAS, berbanding semasa ia bersama BN sebelum ini.

“Sekarang pendirian kita bersama PAS kita lebih faham isu mengenai agama Islam, oleh itu kita perlukan lebih banyak pertemuan untuk lebih memahami antara satu sama lain. Banyak tanda- tanda baik. 

“Memang ada isu tetapi kita boleh berbincang dan kita akan lebih faham lagi, sebab dan cadangan PAS,” katanya. – 6 Mei, 2021.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen