Thailand giatkan usaha kesan kes aktif Covid-19  


Jumlah kes yang dilaporkan di Bangkok berkaitan dengan pusat hiburan dan perjalanan rentas wilayah.– Gambar EPA, 4 Mei, 2021.

THAILAND mempergiat usaha pengesanan kes aktif untuk membendung Covid-19 merebak dengan lebih pantas di tengah-tengah peningkatan jumlah kes, kematian dan kluster baharu. 

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Dr Taweesin Visanuyothin berkata lagi kluster baharu dikesan di daerah Khlong Toei, Pathumwan dan Dusit di Bangkok.

“Jumlah kes di Bangkok terus melonjak dan usaha kawalan penyakit kini tertumpu di Bangkok.

“Lebih banyak usaha untuk mengesan kes aktif akan dibuat untuk mengekang penularan jangkitan,” katanya semasa taklimat harian Covid-19 di Bangkok hari ini.

Beliau berkata jumlah kes yang dilaporkan di Bangkok berkaitan dengan pusat hiburan dan perjalanan rentas wilayah semasa festival Songkran pada April lalu.

Dalam tempoh 24 jam lalu, Thailand mencatatkan 1,763 kes baharu dan 27 lagi meninggal dunia, menjadikan jumlah keseluruhan masing-masing 72,788 jangkitan dan 303 kematian.

Sehingga kini, sejumlah 30,011 pesakit masih dirawat di hospital dan jumlah pesakit kritikal meningkat kepada 1,009 dengan 311 pesakit menggunakan mesin ventilator.

Untuk kes baharu, Taweesin berkata 1,750 jangkitan tempatan termasuk 562 kes di Bangkok, Samut Prakan (201) dan Nonthaburi (168).

Sebanyak 13 kes import dilaporkan termasuk empat warga tempatan berusia antara 12-40 tahun yang masuk secara haram dari Malaysia, katanya.

Korban terbaru melibatkan 21 lelaki dan enam wanita berusia antara 25 hingga 92 tahun, kebanyakan mereka mempunyai mempunyai sejarah penyakit lampau termasuk tekanan darah tinggi, diabetes, penyakit jantung dan obesiti,katanya.

Sementara itu, Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) membuka hospital lapangan kelima untuk menampung pesakit Covid-19.

Gabenor Bangkok Aswin Kwanmuang berkata Stadium Chaloem Phra Kiat di daerah Thung Khru di Bangkok diubah suai menjadi hospital lapangan yang menempatkan 400 katil

Hospital lapangan juga dilengkapi dengan kemudahan unit rawatan rapi (ICU).

Beliau berkata Hospital Charoenkrung Pracharak akan menyediakan doktor, kakitangan perubatan dan peralatan termasuk mesin sinar-X, oksimeter dan rangkaian teleperubatan yang canggih untuk memastikan pesakit di hospital lapangan dapat dipantau pada setiap masa. – Bernama, 4 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen