Hamzah tak hadir majlis serah tugas KPN


MENTERI Dalam Negeri Hamzah Zainudin tidak hadir pada majlis serah tugas Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador kepada penggantinya Acryl Sani Abdullah Sani pagi tadi.

Hamzah sebaliknya diwakili dua timbalannya iaitu Dr Ismail Mohamed Said dan Jonanthan Yassin, pada majlis yang disiarkan langsung di Facebook Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Tidak diketahui mengapa Hamzah tidak hadir, namun Hamid pada sidang media terakhirnya Jumaat lalu mendedahkan menteri itu melanggar batas campur tangan dalam urusan pentadbiran pasukan polis.

Beliau memberi amaran campur tangan politik dalam urusan PDRM mesti dihentikan serta merta demi masa depan negara.

“Seorang menteri tidak boleh campur tangan dalam kawal selia pasukan PDRM.

“Menteri hanya diberi kuasa untuk tetapkan dasar.

“Sejak awal lagi beliau (Hamzah) mendesak diberi kuasa untuk tempatkan orang (pegawai) di situ, di situ,” katanya.

Hamid mendedahkan campur tangan itu beberapa jam selepas Hamzah mengaku suara beliau dalam perbualan mengatur pertukaran pegawai kanan polis bocor.

Hamzah bagaimanapun menegaskan beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan, sebaliknya tindakan merakam perbualan orang lain melanggar undang-undang.

Acryl Sani, 59, akan menggalas tugas sebagai ketua polis negara ke-13 menggantikan Hamid yang bersara hari ini.

Beliau dilantik sebagai timbalan ketua polis negara pada Ogos tahun lalu bagi menggantikan Mazlan Mansor yang bersara wajib selepas 47 tahun berkhidmat dalam pasukan polis.

Acryl Sani antara lain pernah bertugas sebagai pengarah di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial serta Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi di Bukit Aman. – 3 Mei, 2021.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen