Ibu bapa bimbang hantar anak tuisyen ekoran kluster pendidikan


Angie Tan

Malaysia merekodkan hampir 100 kluster sektor pendidikan sejak sekolah dibuka semula pada Februari dan situasi itu dijangka terus suram. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Mei, 2021.

IBU bapa amat bimbang terhadap keselamatan anak mereka ketika menghadiri kelas tuisyen selepas kluster pendidikan akibat Covid-19 semakin meningkat.

Malaysia merekodkan hampir 100 kluster sektor pendidikan sejak sekolah dibuka semula pada Februari dan situasi itu dijangka terus suram.

Kalangan ibu bapa sudah mengambil keputusan untuk tidak menghantar anak mereka ke sekolah dan pusat tuisyen, sebaliknya meminta kelas tambahan diadakan secara maya bagi mengelakkan anak mereka terdedah kepada bahaya Covid-19.

Pengerusi Persatuan Pengusaha Pusat Tuisyen Malaysia Andy Lim Seng Huat memberitahu The Malaysian Insight bahawa jumlah pelajar yang hadir ke kelas tuisyen menurun sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Beliau berkata sebelum penularan wabak ke sektor pendidikan, jumlah pelajar yang hadir secara fizikal ke kelas tambahan sebanyak kira-kira 70 hingga 80%.

Namun katanya selepas kluster pendidikan mula dikesan, ibu bapa memintah kelas diadakan secara maya.

“Kira-kira 50% ibu bapa bimbang dan meminta anak mereka belajar secara dalam talian.

“Ini yang membelenggu ibu bapa terutamanya di Kuala Lumpur,” katanya.

Andy berkata beberapa pusat tuisyen beroperasi secara maya manakala ada juga pusat kelas tambahan yang meneruskan kelas secara fizikal mengikut norma baharu.

Beliau berkata situasi itu amat berbeza di luar ibu negara apabila kelas tuisyen diadakan seperti biasa.

“Setiap ibu bapa berfikir secara berbeza. Ada yang merasakan ini adalah norma bahar dan perlu diterima, maka mereka menghantar anak ke kelas,” katanya.

Andy yang mempunyai pengalaman selama 22 tahun dalam industri kelas tuisyen berkata jika kadar jangkitan terus meningkat, beliau percaya ia akan menjejaskan operasi banyak pusat kelas tambahan.

“Ada ibu bapa mempertimbangkan untuk tidak menghantar anak mereka ke kelas tambahan selama sebulan termasuk secara maya.

“Kita telah menyaksikan apa yang berlaku pada tahun lepas ketika berdepan pandemik. Ramai pelajar tidak hadir ke kelas walaupun secara virtual.

“Apabila kita diberi kebenaran untuk menyambung kelas secara fizikal, baru pelajar kembali,” katanya.

Andy berkata tidak kira sama ada kelas diadakan secara fizikal atau maya, perkara yang paling penting terletak kepada kawalan diri pelajar itu sendiri.

“Jika kawalan diri pelajar itu lemah, maka benar kelas secara fizikal lebih elok diadakan. Jika tidak guru tidak boleh mengawal situasi jika kelas diadakan secara maya.” – 3 Mei, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen