Hentikan campur tangan politik dalam polis, kata Hamid Bador


Noor Azam Shairi

Pada sidang media terakhirnya petang ini, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador Hamid berkata menteri dalam negeri melanggar batas dalam urusan pentadbiran polis. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 30 April, 2021.

CAMPUR tangan politik dalam urusan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mesti dihentikan serta merta demi masa depan negara, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador menjelang persaraannya minggu depan.

Pada sidang media terakhirnya petang ini, Hamid tanpa berselindung mendedahkan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin melanggar batas campur tangan dalam urusan pentadbiran pasukan polis.

“Seorang menteri tidak boleh campur tangan dalam kawal selia pasukan PDRM.

“Menteri hanya diberi kuasa untuk tetapkan dasar,” katanya pada  sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Hamid mendedahkan campur tangan itu beberapa jam selepas Hamzah mengaku suara beliau dalam perbualan mengatur pertukaran pegawai kanan polis yang tersebar sejak beberapa hari lalu.

Hamzah berkata perbualan telefonnya yang membincangkan hal ehwal polis tidak salah, sebaliknya orang yang merakam dan menyebarkannya yang melakukan kesalahan.

Hamid menafikan beliau terlibat dengan rakaman itu.

“Perbualan itu tak ada kena mengena dengan saya… saya tak tahu,” katanya.

Lapor kepada PM

Hamid berkata beliau sudah dua kali membangkitkan campur tangan Hamzah dalam urusan pasukan polis kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan menyuarakannya juga kepada Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali.

“Saya bukan langgar saja,” katanya.

Katanya, beliau bukan “gila kuasa” mahu menentukan segala-galanya, namun sebagai ketua pasukan polis beliau tentulah lebih arif tentang hal ehwal dan urusan PDRM.

“Saya bergelumang setiap hari dengan pasukan saya. Menteri ada banyak jabatan dan agensi di bawah kementeriannya,” tambahnya.

Masalah mula sejak tukar kerajaan

Hamid berkata masalahnya dengan menteri dalam negeri hanya bermula selepas pertukaran kerajaan pada Mac 2020 susulan percaturan politik yang menjatuhkan pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Katanya, beliau tiada masalah semasa Muhyiddin Yassin ketika beliau jadi menteri dalam negeri semasa kerajaan PH.

Masalah cuma timbul, tambahnya apabila Hamzah dilantik menteri dalam negeri dalam Kabinet Muhyiddin.

“Sejak awal lagi beliau (Hamzah) mendesak diberi kuasa untuk tempatkan orang (pegawai) di situ, di situ,” katanya.

Tegas Hamid, tindakan campur tangan politik seperti itu hanya menyebabkan pecah belah dalam pasukan polis sehingga muncul amalan berpuak dalam pasukan.

Suruhanjaya Pasukan Polis mesti dirombak

Dalam pada itu, Hamid meninggalkan pesanan dan harapan agar Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) dapat dirombak pada masa depan untuk memantapkan lagi badan kawal selia PDRM itu.

Katanya, SPP tidak wajar diketuai oleh menteri seperti sekarang sehingga membuka ruang untuk diperalatkan.

Beliau mendedahkan bagaimana SPP yang sepatutnya bermesyuarat setiap bulan hanya bertemu empat kali setahun.

Malah SPP juga katanya tiada pejabat sedangkan ia sebuah jabatan yang mengendalikan urusan 129,000 anggota dan pegawai polis.

“Bayangkan kalau SPA (Suruhanjaya Perkhidmatan Awam) macam ini,” katanya.

Hamid mencadangkan SPP pada masa akan datang diterajui secara bebas misalnya oleh bekas hakim.

Cadangan itu katanya pernah disuarakan oleh bekas ketua pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) Abu Kassim Mohamed semasa pentadbiran PH.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen