Polis siasat kejadian khianat kuil, gereja di Kota Bharu


POLIS Kelantan akan melakukan siasatan terperinci berhubung kejadian khianat terhadap dua pusat ibadat membabitkan sebuah gereja dan kuil Hindu di Jalan Hamzah di Kota Bharu, tengah malam tadi.

Ketua Polis Kelantan, Hasanuddin Hassan berkata kejadian tersebut disedari oleh penjaga gereja Methodist itu pada pukul 12 tengah malam tadi selepas mendengar satu letupan berlaku di tingkat atas bangunan tersebut.

“Penjaga gereja itu kemudiannya ke tingkat dua gereja dan mendapati cermin pusat ibadat itu pecah selain menemui satu tong penapis air yang mempunyai kesan terbakar,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan hari ini.

Hasanuddin berkata siasatan awal mendapati penapis air berkenaan dicampak oleh suspek yang menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Nissan Livina daripada laluan bertingkat ke Pasir Pekan.

Beliau berkata dalam satu lagi kejadian yang berlaku lebih kurang serentak, pihak polis turut menemui sebuah lagi tong penapis air yang dicampak di dalam Kuil Subramaniyar yang terletak bersebelahan gereja tersebut, yang disyaki dilakukan suspek yang sama.

Hasanuddin berkata pihaknya sedang melakukan siasatan lanjut berhubung kes itu bagi mengetahui motif sebenar kejadian dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis Kota Bharu dan kes disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana khianat tempat ibadat.

Terdahulu beliau menerima kunjungan hormat daripada rombongan Majlis Jaksa Pendamai Negeri Kelantan yang diketuai pemangku Presidennya Zukri Samat.

Dalam majlis tersebut pihaknya turut menerima sumbangan cek bernilai RM20,000 bagi pembinaan tandas di Balai Polis Kubang Kerian selain untuk membaikpulih tiga surau membabitkan surau IPK, surau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu dan surau Balai Polis Kota Bharu. – Bernama, 7 Januari, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen