PRN Ogos ini, para menteri Sarawak berteka-teki kenyataan Khairy


Desmond Davidson

Masing-masing berteka-teki namun ramai menjangka pilihan raya negeri itu akan diadakan selepas perintah darurat ditarik, iaitu Ogos ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 April, 2021.

MENTERI-menteri Sarawak tidak pasti dengan kenyataan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin semalam yang seolah-olah memberi gambaran pilihan raya negeri akan diadakan pada Ogos.

Setelah tamat mesyuarat petugas program imunisasi Covid-19 kebangsaan semalam, Khairy yang juga menteri penyelarasnya berkata Putrajaya telah memberi jaminan kepada Sarawak program vaksinasi akan selesai “sebelum pilihan raya negeri pada Ogos”.

“PRN12 Ogos 2021 (pilihan raya negeri ke-12)? Sila tanya ketua menteri.

“Beliau yang sebut,” demikian jawapan ringkas Timbalan Ketua Menteri dan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) James Masing kepada The Malaysian Insight, mengenai adakah Khairy sengaja menyebut tarikh itu.

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Abdul Karim Hamzah, juga berkata dengan tegasnya, Ketua Menteri Abang Johari Openg tidak pernah menyebut pilihan raya akan diadakan pada Ogos.

“Hanya Suruhanjaya Pilihan Raya yang tahu. (Saya?) Saya hanya tahu  (penggal) DUN akan berakhir pada 6 Jun 2021,” kata Karim, yang juga menteri pelancongan negeri.

Penganalisis politik James Chin bagaimanapun, tidak meragui pilihan raya negeri akan diadakan pada Ogos.

Ramai menganggap Ogos kerana darurat tamat pada 1 Ogos dan tarikh itu juga adalah tarikh akhir tempoh 60 hari untuk pilihan raya diadakan.

Pada masa sama, Sarawak turut mendesak agar vaksinasi dua juta rakyat negeri ini dan 200,000 penduduk asing akan selesai pada akhir bulan itu.

Chin berkata maklumat yang beliau dapat sekarang ialah beberapa pemimpin politik utama “benar-benar mahu adakan pilihan raya negeri sebelum pilihan raya umum”.

“Mereka tidak mahu pilihan raya serentak.”

Bekas timbalan pengerusi PKR Sarawak Baharuddin Mokshen setuju dengan penilaian Chin mengenai pilihan raya negeri itu pada bulan Ogos dan tidak akan serentak dengan pilihan raya umum.

“Mungkin akan berjalan sendiri sebab ada banyak petanda untuk Parlimen. Ada yang mahu Ogos dan sama lantangnya, ada yang mahu lengkapkan penggal,” katanya.

Pengganti Baharuddin, Abang Zulkifli Abang Engkeh juga tidak meragui pilihan raya negeri akan diadakan pada Ogos.

“Itu jika keadaan darurat tidak dilanjutkan,” katanya.

Bagaimanapun Abang Zulkifli tidak percaya program vaksinasi di negeri itu dapat diselesaikan pada tarikh yang disasarkan pada akhir Ogos akan memainkan peranan penting dalam keputusan Abang Johari untuk menuntut pilihan raya.

“Kalau betul, saya tak fikir pilihan raya akan diadakan pada bulan Ogos. Sebab mudah ialah pada kadar yang akan kita ada sekarang, kita tidak akan dapat selesaikan vaksinasi pada Ogos.

“Pilihan raya akan bergantung dengan bila darurat akan ditarik.” – 29 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen