Arab Saudi tutup lapan sekolah milik Turki 


ARAB Saudi sedia untuk menutup lapan sekolah Turki pada akhir tahun akademik ini, lapor agensi berita Turki Anadolu.

Keputusan itu mungkin akan mencetuskan kemarahan Ankara yang cuba memperbaiki hubungan dengan Riyadh.

Kementerian pendidikan Turki sudah dimaklumkan oleh pihak berkuasa Arab Saudi bahawa lapan sekolah akan ditutup pada akhir sesi persekolahan, menurut laporan Anadolu.

Lapan sekolah berkenaan mempunyai 2,256 pelajar, tambahnya.

Kementerian luar Turki ketika dihubungi AFP enggan mengulas mengenai perkara itu.

Bulan lalu kementerian pendidikan itu berkata terdapat 26 sekolah Turki di Arab Saudi.

Penutupan lapan sekolah itu akan mencetuskan ketegangan di antara kedua-dua negara.

Sejak beberapa tahun lalu hubungan kedua-dua negara berkenaan tegang, terutamanya selepas kes pembunuhan wartawan Arab Saudi Jamal Khashoggi di konsulat negara itu di Istanbul pada 2018. – AFP, 29 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen