Kumpulan pendidikan mahu perbaiki kesilapan fakta dalam buku teks sejarah


Angie Tan

Sejak beberapa minggu lalu selepas sejarawan terkenal Ranjit Singh Malhi mengkritik buku teks sejarah sekolah menengah edisi terbaru kerana kandungannya berat sebelah dan tidak tepat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 April, 2021.

SEBUAH jawatankuasa pendidikan bebas kini sedang melakukan proses meneliti kandungan buku teks sejarah sekolah menengah untuk menentukan ketepatan fakta.

Jawatankuasa berkenaan  – Inisiatif Pengislahan Pendidikan Nasional (IPPN) – meneliti buku sejarah untuk Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 untuk meneliti fakta yang perlu diperbetulkan atau dimasukkan, kata pengerusinya Tan Yew Sing.

Tan, yang merupakan seorang pendidik terkenal berkata selepas jawatankuasa itu menyelesaikan tugasnya, pihaknya kemudian akan mengirimkan laporan mengenai dapatan tersebut kepada Kementerian Pendidikan.

Laporan awal jawatankuasa berkenaan dijangka siap pada akhir bulan ini.

Sejak beberapa minggu lalu selepas sejarawan terkenal Ranjit Singh Malhi mengkritik buku teks sejarah sekolah menengah edisi terbaru kerana kandungannya berat sebelah dan tidak tepat.

Ranjit mendakwa buku-buku teks, untuk penggunaan di Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5, adalah pro Melayu dan Islam dan telah menghilangkan fakta-fakta penting berkaitan dengan pembinaan negara termasuk fakta menyimpang dan keterlaluan.

Ini bukan kali pertama kontroversi melibatkan buku teks sejarah timbul kerana perkara yang sama pernah dibangkitkan oleh pengkaji 10 tahun lalu.

Tan memberitahu The Malaysian Insight jawatankuasa berkenaan, yang terdiri daripada kumpulan pelbagai agama mewakili Melayu, Cina dan India, ditubuhkan bagi memperbetulkan kesilapan fakta dalam buku sejarah sekolah menengah.

“Kami mengadakan mesyuarat dalam talian dengan ahli dan masing-masing diberi buku teks dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 untuk diteliti. Mereka diberi masa dua minggu untuk menganalisis keseluruhan buku untuk kandungan yang tidak betul,” katanya.

Beliau berkata jawatankuasa berkenaan melihat sejarah dari perspektif nasional.

Tan yang juga timbalan pengerusi kumpulan pendidikan Cina Dong Zong berkata jawatankuasa itu berpandangan bahawa sejarah perlu tepat dan berdasarkan fakta.

Katanya bab-bab mengenai transformasi negara dari Tanah Melayu ke Malaysia, dan sumbangan semua kaum mestilah menggambarkan peristiwa bersejarah yang seimbang.

“Terdapat beberapa kandungan yang perlu dikaji semula. Sekarang ini penekanan diberikan kepada sumbangan satu kumpulan kaum sementara yang lain dikurangkan. Yap Ah Loy (pengasas Kuala Lumpur) adalah contoh yang baik,” katanya.

Pada masa yang sama, orang ramai harus mengetahui mengenai sejarah Sabah, Sarawak dan etnik minoriti lain serta sumbangan mereka, katanya.

Beliau berkata bahagian-bahagian tertentu dalam sejarah dunia, seperti peradaban Indus dan Sungai Kuning, yang terkenal sebagai permulaan peradaban, telah dikurangkan dalam buku teks semasa.

“Kami bimbang pandangan dunia kita akan cetek setelah pendidikan menengah dan semua yang kita tahu adalah sejarah Melayu dan Islam,” katanya.

Tan berkata, ia memerlukan kemahuan politik yang kuat untuk mengatasi masalah tersebut.

“Buku teks berdasarkan dasar selain pendapat peribadi para sarjana dari jawatankuasa Kementerian Pendidikan yang menentukan kurikulum.

“Oleh itu, adalah perlu bagi memastikan bahawa profil Malaysia sebagai negara berbilang kaum digambarkan dengan tepat,” katanya.

Mempunyai pandangan cetek

Tan berkata bahawa jawatankuasa kurikulum kementerian mestilah terdiri daripada ahli-ahli yang berlainan bangsa dan agama bagi memastikan semua kaum dan kumpulan agama diwakili dengan baik dan sejarah mereka dimasukkan ke buku.

“Buku teks sejarah sangat penting kerana ia mampu membentuk pandangan generasi akan datang. Sekiranya kita selalu mengubahnya kerana alasan politik dan tidak dapat secara objektif menggambarkan peristiwa yang benar, maka generasi akan datang akan berprasangka buruk terhadap orang lain dan mempunyai pandangan yang cetek.

“Ini akan memberi kesan negatif terhadap keharmonian negara,” katanya.

Pengkaji sejarah Tang Ah Chai mendapati bahawa kandungan buku teks diubah setiap kali edisi baru dikeluarkan.

“Sebenarnya, buku teks diubah selang waktu tertentu. Versi buku teks versi baru yang dikeluarkan tahun ini untuk Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima juga mempunyai beberapa kandungan yang disemak. Masalah ini telah berlarutan sejak sekian lama,” katanya.

Beliau berkata isu-isu berkenaan akan dibangkitkan dalam laporan jawatankuasa bebas kepada Kementerian Pendidikan.

Tang berkata laporan sementara dijangka dikeluarkan pada 30 April, dan Ranjit akan membantu menyunting kandungannya.

Mesyuarat kedua akan diadakan pada bulan Mei yang mana semua orang akan berkongsi dapatan mereka.

Ranjit sebelum ini menyatakan kebanyakan penulis buku teks ialah orang Melayu. Ini bermakna pelajar mempelajari sejarah Malaysia dan dunia dari perspektif kumpulan etnik tertentu. – 28 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen