Putrajaya ingin lanjut darurat selama mungkin, kata Anwar 


Anwar Ibrahim mendakwa Perikatan Nasional menjadikan peningkatan kes Covid-19 sebagai alasan melanjutkan darurat. – Gambar EPA, 26 April, 2021.

MELANJUTKAN tempoh darurat selama mungkin dengan peningkatan kes Covid-19 adalah matlamat sebenar kerajaan, kata ketua pembangkang Anwar Ibrahim.

Anwar mengulas kenyataan Menteri Undang-Undang Takiyuddin Hassan yang Parlimen akan bersidang semula pada waktu sesuai, sama ada sebelum atau selepas darurat ditarik balik pada 1 Ogos kerana tumpuan sekarang adalah menangani pandemik Covid-19.

“Kita tidak nampak sebarang tanda bahawa darurat ini akan tamat dalam masa terdekat. 

“Dengan peningkatan kes penularan Covid-19 hari ini, ia akan memberi alasan kepada kerajaan PN (Perikatan Nasional) untuk melanjutkan tempoh darurat melepasi bulan Ogos 2021,” tulisnya di Facebook hari ini.

Presiden PKR itu juga berkata kenyataan Takiyuddin menenai penggantungan Parlimen adalah “kurangnya pemahaman mengenai prinsip asas pemerintahan demokrasi”.

“Sebuah sistem yang menginjak aspek Parlimen adalah sistem diktator, bukan demokrasi. Demokrasi mesti tertegak, meski di kala kemelut. Suara rakyat tidak boleh dipadam oleh para petinggi yang rakus dan gila kuasa,” katanya.

Ahli Parlimen Port Dickson itu meluahkan kebimbangan yang walaupun dengan penutupan itu, usaha mengekang Covid-19 semakin parah. 

Ditambah dengan kelewatan pemberian vaksin, beliau berkata Parlimen mungkin tidak akan bersidang pada 2021, yang akan menjadi kegagalan epik pihak PN.

Sehingga hari ini, hanya 1.6% daripada populasi atau 504,165 individu di Malaysia sudah melengkapkan suntikan vaksin. Kerajaan meramalkan akan memberi vaksin kepada 80% rakyat pada akhir tahun ini untuk mencapai imuniti kelompok.

Anwar berkata pelbagai ordinan darurat yang diperkenalkan juga tidak menyumbang kepada penurunan jumlah jangkitan Covid-19.

“Kuasa dan undang-undang yang diperuntukkan darurat setakat ini tidak memberi dampak yang positif dalam usaha kita melawan wabak. 

“Sebaliknya, ianya digunakan untuk membungkam wartawan dan media, serta memberi kuasa pada kerajaan ini untuk menggunakan dana awam tanpa hormat pada prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban pada Parlimen. Menggunakan hampir 50% dana dark Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) untuk pemerolehan vaksin sebagai contoh.”

Anwar menambah yang tahap pengangguran, kehilangan pelaburan asing dan pinjaman tidak terkawal akan menyebabkan ekonomi merosot lebih jauh.

“Prestasi Malaysia akan terus tercorot dengan masalah pengangguran tanpa reformasi ekonomi yang menyeluruh. Persaingan di rantau ini dalam mendapatkan investasi asing nampaknya akan terus meletakkan Malaysia di barisan belakang. 

 “Sikap kerajaan ini yang terus berhutang dan berbelanja tanpa semak imbang akan memberi dampak buruk kepada generasi akan datang. Ekonomi tidak akan mampu pulih bilamana keyakinan kepada kerajaan dan kebijakannya tidak wujud, serta prinsip negara hukum terus diinjak tanpa belas.” – 26 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen