Sukar tiru fenomena 'Bossku' Najib, kata penganalisis


Bernard Saw

Selepas kalah dalam PRU14 dan terpalit kes rasuah 1MDB, Najib tampil dengan kempen 'Malu Apa Bossku' bagi memulihkan imejnya dalam kalangan orang Melayu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 April, 2021.

AHLI politik sama ada dari kerajaan atau pembangkang akan berasa sukar untuk meniru fenomena “Bossku” Najib Razak ketika mereka membuat persediaan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata penganalisis.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight, kesemua parti dalam keadaan rapuh dan sukar buat mereka untuk mewujudkan imej yang ditonjolkan Najib di media sosial.

Malah mereka juga akan berasa sukar untuk menarik sokongan pengundi menerusi strategi dalam talian, sekali gus memberi pilihan kepada mereka untuk menggunakan dua kaedah iaitu bertemu pengundi secara fizikal dan maya.

Tambahan lagi, parti Melayu seperti Umno dan PAS akan bertanding di kawasan luar bandar, di mana populariti mereka dalam media sosual hanya memberi kesan minimum kepada pengundi, kata penganalisis.

Selepas kalah dalam PRU14 dan terpalit kes rasuah 1MDB, Najib tampil dengan kempen “Malu Apa Bossku” bagi memulihkan imejnya dalam kalangan orang Melayu.

Segalanya bermula dengan lemparan kritikan terhadap kerajaan terdahulu Pakatan Harapan (PH) dan kini bersambung ke kerajaan Perikatan Nasional.

Secara keseluruhannya Najib mempunyai 6 juta pengikut di media sosial.

Pakar akademik Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) Liew Wui Chern berkata sejak wujudnya fenomena “Bossku”, parti pemerintah dan pembangkang cuba menggunakan cara sama bagi mempromosikan imej dan personaliti mereka.

“Mereka tampil dengan strategi dalam talian, tetapi selepas Langkah Sheraton, banyak parti yang rapuh,” katanya merujuk kepada PH dan sekutunya.

Liew berkata sukar untuk mempromosikan strategi dalam talian bagi pemimpin politik apabila parti mereka berpecah.

Pembantu profesor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Lau Zhe Wei berkata hantaran sosial media Najib dapat menarik banyak perhatian netizen kerana ia meliputi isu bermaklumat dan subjektif.

Beliau juga berkata sesetengah hantaran yang diselitkan dengan elemen humor dan sarkastik diterima oleh pengikutnya.

“Ramai ahli politik memilih dua cara untuk menyampaikan mesej. Mereka mungkin menyampaikan secara nada serius atau berjenaka tentangnya.”

Beliau berkata Najib tidak mempunyai tugas rasmi dan tanggungjawab selepas kalah dalam pilihan raya, dan beliau mempunyai masa untuk ‘berkempen’ di media sosial.

Beliau juga merujuk tindakan ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim yang menggunakan media sosial untuk membantu rakyat dan menarik pengikut.

Lau bagaimanapun berkata mereka yang mengikuti pemimpin di media sosial tidak semestinya memberi sokongan tetapi ia menunjukkan pandangan atau cara ahli politik itu boleh diterima.

“Ia ibarat drama. Jika rakyat melihatnya, tidak mesti mereka akan mengundinya. Mereka yang sanggup mengikut media sosial ahli politik mungkin akan memberi undi.” – 24 April, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen