Guna dana KWAN ancam masa depan negara


TINDAKAN kerajaan Perikatan Nasional (PN) meluluskan undang-undang baharu untuk membelanjakan dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) adalah satu lagi contoh manipulasi proklamasi darurat dan penggantungan Parlimen.

Ia mengancam masa depan negara dan mengkhianati generasi akan datang kerana dana KWAN ini sepatutnya menjadi sokongan fiskal masa hadapan apabila sumber asli seperti petroleum telah pupus.

KWAN ini telah ditubuhkan pada 1988, namun setakat tahun 2018, nilainya hanya mencecah RM17.4 bilion di mana Petronas merupakan penyumbang tunggal.

Amaun simpanan RM17.4 bilion ini jauh lebih kecil berbanding sumbangan Petronas bernilai lebih kurang RM1.2 trilion setakat ini ke dalam kantung kerajaan Malaysia.

Jauh bezanya jika KWAN dibandingkan dengan “oil trust fund” Norway yang hari ini merupakan antara yang terbesar di dunia yang dianggarkan US$1.2 trilion setakat 2020.

Hakikatnya, kita tidak mempunyai simpanan yang mencukupi untuk generasi akan datang. Sumber petroleum ini terhad dan akan pupus juga pada satu hari ini.

Ada anggaran kerajaan yang mengatakan rizab petroleum akan pupus seawal 2029, jika telaga baharu tidak ditemui.

Kerajaan sepatutnya meningkatkan nilai simpanan KWAN dan bukannya membelanjakan simpanan masa hadapan tersebut.

Penggantungan Parlimen telah memudahkan kerajaan PN menukar undang-undang sewenang-wenangnya tanpa proses semak imbang oleh ahli Parlimen yang dipilih rakyat.

Kerajaan harus membatalkan niat untuk menggunakan dana KWAN untuk perbelanjaan kerajaan. Jika kerajaan boleh  membayar gaji begitu banyak kabinet besar kerajaan PN yang dilihat gagal, sudah semestinya kerajaan boleh mencari dana tambahan tanpa menjarah simpanan masa hadapan. – 23 April, 2021.

* Faiz Fadzil, ahli Jawatankuasa Amanah Nasional.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen