Perintah darurat punca krisis keyakinan, kata pakar ekonomi


Kadar pengangguran di Malaysia kini tiga kali ganda lebih tinggi dalam kalangan belia bawah usia 24 tahun, kata pakar ekonomi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 April, 2021.

PERINTAH darurat yang dikuatkuasakan Perikatan Nasional (PN) menyebabkan krisis keyakinan yang menyukarkan pemulihan ekonomi negara, kata pakar ekonomi.

“Walaupun kerajaan tidak beri data, (bukti daripada) perintah darurat sebelum ini menunjukkan keyakinan pelabur dan pengguna menurun sepanjang tempoh darurat,” kata pakar ekonomi Prof Jomo Kwame Sundaram pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.

Merujuk kepada perintah darurat kali pertama yang diisytiharkan ketika penjajahan British pada 1948, Jomo berkata pelabur British menghentikan semua pelaburan ke Malaya.

Perintah darurat kali ini yang bermula 11 Januari lalu, masih tidak dapat membantu meningkatkan ekonomi, dan pengangguran masih tinggi, kata Jomo.

Beliau berkata pelabur tempatan dan luar negara menjauhi negara yang sedang dalam perintah darurat kerana tidak ada periksa dan imbang.

Kadar pengangguran Malaysia melonjak 48.8% tahun ke tahun ketika mendaftarkan 5% atau 778,000 orang hilang pekerjaan pada April 2020, selepas kerajaan PN menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan (PKP) kali pertama pada Mac tahun lalu.

Sementara itu, pakar ekonomi Prof Nungsari Ahmad Radhi berkata pengangguran kini tiga kali ganda lebih tinggi dalam kalangan belia bawah usia 24 tahun.

Bekas penasihat ekonomi Pakatan Harapan Muhammed Abdul Khalid berkata PN tidak menggunakan perintah darurat itu dengan baik.

“Ia terlepas banyak peluang. Kerajaan biasanya menggunakan masa yangs ukar untuk berubah, tetapi tidak ada apa yag dibuat berkenaan keselamatan sosial atau cukai pendapatan,” katanya.

Beliau berkata penyokong PN juga silap bila membandingkan perintah darurat Malaysia pada masa ini dengan sebelumnya, atau negara lain.

“Memang benar lebih 70 negara mengisytiharkan darurat, tetapi tidak ada yang menggantung Parlimen. Periksa dan imbang terhadap kerajaan masih berlangsung di negara lain,” kata Muhammed. – 19 April, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen