Usaha terakhir Indira Gandhi sebelum KPN bersara


Noel Achariam

Selepas 10 tahun turun naik mahkamah dan keputusan berpihak kepada M Indira Gandhi, beliau masih gagal mengesan bekas suami dan anak mereka yang dilarikan, Prasana Diksa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 April, 2021.

BEKAS guru tadika M. Indira Gandhi menghantar sepucuk surat kepada Abdul Hamid Bador pada Jumaat lalu sebagai usaha terakhir bagi mendapatkan perkembangan kes kehilangan anaknya sebelum ketua polis negara (KPN) itu bersara.

Ini merupakan kali ketujuh Indira menghantar surat kepada Hamid yang menjadi KPN sejak 2019.

Pengerusi Pasukan Tindakan Indira Gandhi (Ingat) Arun Dorasamy memberitahu The Malaysian Insight  Indira menunggu peluang untuk bertemu KPN sejak 2019 bagi mengetahui tentang kes kehilangan anaknya.

“Ini adalah usaha terakhir kami bertemunya sebelum beliau bersara,” katanya.

Hamid, 62, dilantik sebagai KPN pada 4 Mei 2019 oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad. Beliau akan bersara pada 3 Mei depan.

Arun berkata kali terakhir surat dihantar adalah pada 17 September tahun lalu selepas Hamid gagal menghadiri pertemuan yang diatur pada 3 September.

“Setakat ini, kami gagal mendapat sebarang maklum balas daripada surat yang kami hantar (tahun lepas).”

Pada 17 September, The Malaysian Insight melaporkan Hamid tidak dapat hadir ke pertemuan itu kerana perlu menghadiri satu lagi mesyuarat penting.

Arun berkata mereka mahu bertemu ketua pasukan tindakan Indira Gandhi, Huzir Mohamed dan pegawai penyiasat baharu ASP Yap Siew Cheng.

Pada 28 Januari tahun lalu, Hamid memberi jaminan kepada Indira tentang permintaannya untuk bertemu semula dengan anak perempuannya, Prasana Diksa yang dikatakan bersama dengan bapanya Muhammad Riduan Abdullah.

Harapan KPN baharu tidak mengecewakan

Indira memberitahu The Malaysian Insight beliau berharap KPN baharu tidak mengecewakan seperti penyandangnya yang gagal mengesan lokasi anak perempuannya.

Beliau berkata lima KPN sudah bersilih ganti tetapi masih belum ada harapan untuk menemukan anaknya yang kini sudah berusia 13 tahun.

Prasana diambil oleh ayahnya pada 2018 menerusi perbicaraan tuntutan hak di mahkamah walaupun keputusan memihak kepada Indira.

Indira berkata beliau tidak lagi yakin dengan Hamid selepas janji yang diberikannya tidak dipenuhi.

“KPN berkata akan adanya pengakhiran yang menggembirakan tetapi kini beliau akan bersara. Beliau tidak memenuhi janjinya.

“Kami berharap KPN baharu akan lebih telus dan mencari penyelesaian masalah ini. Kami tidak mahu lagi janji kosong,” katanya. – 18 April, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen