10 kluster baharu, 1 berkaitan perjumpaan sosial


Ragananthini Vethasalam

Sebanyak 10 kluster baharu Covid-19 hari ini dengan salah satunya dikaitkan dengan perhimpunan sosial. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 April, 2021.

KEMENTERIAN Kesihatan melaporkan 10 kluster baharu Covid-19 hari ini dengan salah satunya dikaitkan dengan perhimpunan sosial.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah juga mengumumkan sebanyak lapan kluster tidak aktif.

Dengan ini katanya, jumlah kluster aktif di negara ini kini berjumlah 345.

Noor Hisham berkata sebanyak 39 kes dikesan di kluster Jalan Canning Estate di Kinta, Perak.

Kluster yang berasal dari perhimpunan sosial diklasifikasikan sebagai salah satu daripada tiga kluster jangkitan masyarakat yang dilaporkan hari ini.

Beliau berkata kluster Paya Pulai (10 kes) di Temerloh, Pahang dan kluster Kabu (21 kes) di Kedah adalah dua kluster komuniti yang dilaporkan hari ini.

Noor Hisham berkata, kedua-dua kluster itu dikaitkan dengan pesakit indeks simptomatik.

Beliau berkata tujuh kluster yang tinggal dikaitkan dengan tempat kerja di mana dua daripadanya dilaporkan di Pahang.

Selangor, Johor, Kelantan, Terengganu dan Putrajaya masing-masing melaporkan satu kluster tempat kerja.

Kluster itu dikesan di kilang, syarikat perkhidmatan, pusat kecergasan dan bangunan pentadbiran awam.

Dr Noor Hisham juga mengumumkan penamatan kluster - Batu Tiga Lama, Jambatan Satu Bombalai, Bukit Bayas, Jalan Distripark B6, Jalan DPB Enam, Lorong Murni, Perusahaan Amari dan Meranti Utama. – 12 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen