Amalan pertanian salah penyebab kemiskinan luar bandar, kata Dr Mahathir


AMALAN pertanian yang salah adalah penyebab mengapa terdapat kemiskinan meluas di luar bandar, kata Dr Mahathir Mohamad sambil menambah bahawa pemegangan tanah yang kecil tidak cekap dan tidak ekonomik

“Kemiskinan luar bandar sekarang ini adalah fakta kehidupan. Ini sebahagian besarnya disebabkan oleh amalan pertanian yang salah. Sudah tiba masanya kita berubah,” katanya dalam satu catatan di blog.

Bekas perdana menteri itu berkata, ada yang tidak kena dengan industri pertanian tempatan hari ini kerana walaupun selepas merdeka, masih ada penduduk tempatan yang memiliki pegangan tanah yang kecil dan tidak ekonomik.

Beliau berkata kebun kecil tidak ekonomik atau cekap. Ladang besar masih diperlukan.

“Ini sangat jelas. Tetapi kita tidak berusaha untuk membetulkannya. Kita juga tidak memikirkan tentang pertanian campuran untuk mengurangkan kemerosatan. 

“Sudah waktunya kita mengakui kesalahan ini dan memperbaikinya. Pertama, kita perlu membuat ladang besar. Bagaimana kita melakukan ini? Jawapan yang jelas adalah untuk menggabungkan ladang kecil sehingga memiliki tanah yang cukup besar.

“Pemilik tanah tidak akan menyukainya. Tetapi model ladang besar ribuan ekar perlu dibangunkan oleh Mardi atau beberapa syarikat swasta,” tambah Dr Mahathir.

Ahli Parlimen Langkawi berkata tanah ribuan ekar itu perlu diuruskan oleh pengurus ladang terlatih dengan tenaga kerja tempatan sambil menambah bahawa pengurus ladang perlu dilatih di universiti.

“Selepas kita tunjukkan keuntungan dari ladang besar dan pertanian campuran, pekebun kecil akan lebih bersedia agar ladang kecil mereka digabungkan untuk membentuk ladang ribuan ekar atau lebih,” kataya.

Dr Mahathir berkata pemilik tanah perlu mendapat bahagian keuntungan yang setara dengan keluasan tanah mereka dan mereka kemudian boleh memilih untuk bekerja atau hanya menikmati keuntungan.

Bagaimanapun beliau berkata pemilikn tanah harus tetap dimiliki oleh pemilik tanah. – 10 April, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen