Eksport sayur dan daging berjalan seperti biasa


Khoo Gek San

Bekalan daging dan ayam dalam pasaran mencukupi, begitu juga produk untuk eksport ke Singapura. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Mac, 2020.

EKSPORT pertanian terutama sekali ke Singapura berjalan seperti biasa walaupun Putrajaya mengenakan perintah kawalan pergerakan bermula Rabu lalu, kata persatuan petani

Kata mereka kepada The Malaysian Insight yang bekalan buah-buah, sayur-sayuran, ayam dan telur ke republik itu tidak terjejas, tetapi kawalan ketat dikenakan ke atas pemandu lori membawa barangan tersebut.

Walaupun mereka tidak bimbang dengan masalah kekurangan produk pertanian, pekebun buah ada meluahkan kebimbangan yang mereka akan berdepan masalah kekurangan baja tidak lama lagi.

Presiden Persekutuan Persatuan Pekebun Sayur Malaysia Tan So Tiok berkata 23% produk sayur Semenanjung termasuk dari Cameron Highlands adalah untuk pasaran Singapura.

“Agensi penguatkuasa undang-undang menghendaki setiap pemandu lori masuk ke Singapura berdaftar bagi mengawal virus. Suhu badan pemandu akan diperiksa dan mereka dihendaki memakai topeng,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau juga menyeru orang awam supaya tidak bimbang akan kekurangan bekalan sayur kerana bekalan mencukupi sepanjang PKP berlaku.

Pekebun buah bagaimanapun meluahkan kebimbangan kekurangan baja yang boleh menjejaskan hasil tuaian mereka.

“Jika wabak tak bertambah elok, saya bimbang baja yang diimport dari negara Eropah seperti Norway, Finland dan Jerman akan berkurangan yang akan menjejaskan hasil tuaian buah-buahan,” kata Presiden Persatuan Pekebun Buah Malaysia Hong Jok Hon.

Pekebun buah bagaimanapun bimbang hasil tuaian akan terjejas jika wabak Covid-19 tidak reda. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Mac, 2020.

Lebih 90% bekalan makanan Singapura seperti sayur-sayuran dan buah-buahan, daging khinzir dan produk diproses adalah produk import.

Menurut Pihak Berkuasa Makanan Singapura, 73% telur dalam pasaran negara itu berasal dari Malaysia dan petani tempatan hanya memenuhi 26% permintaan.

Penasihat Persatuan Persekutuan Peternak Haiwan Malaysia (FLFAM) Jeffrey Ng Choon Ngee berkata eksport telur dan ayam hidup ke Singapura berjalan seperti biasa.

“Mengangkut ayam hidup memerlukan lebih dua orang pekerja. Ia tak boleh dibuat pemandu lori seorang. Pihak berkuasa kedua-dua negara mengambil suhu badan pekerja yang membawa ayam itu.

“Industri ternakan sangat teliti soal kebersihan, jadi penternak patuh prosedur operasi standard yang ada.”

Beliau turut berkata bekalan telur dan ayam untuk pasaran Malaysia mencukupi.

Malaysia mengenakan PKP selama dua minggu untuk mengekang penularan wabak Covid-19.

Di bawah PKP, rakyat diminta berada di rumah sementara perniagaan tidak penting diarah tutup.

Terdapat lebih 1,183 kes positif dalam negara serta lapan kematian, setakat semalam. – 22 Mac, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen