Model baharu diperlukan untuk perkasa ekonomi Bumiputera


Hakikatnya masyarakat Bumiputera masih belum setanding dengan kaum lain di negara ini, terutamanya daripada sudut ekonomi, kata pakar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 April, 2021.

HAMPIR 64 tahun negara mencapai kemerdekaan, dan meskipun pahit untuk ditelan, hakikatnya masyarakat Bumiputera masih belum setanding dengan kaum lain di negara ini, terutamanya daripada sudut ekonomi.

Keadaan yang mengecewakan itu, di sebalik pelbagai agenda Bumiputera yang dilaksanakan sebelum ini agar masyarakat Bumiputera setidak-tidaknya mampu “berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah” dengan kaum Cina dan India khususnya.

Pensyarah Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Anuar Shah Bali Mahomed berkata paling ketara, isu kemiskinan yang masih “menghantui” masyarakat Bumiputera dengan insiden kemiskinan 2019 adalah 7.2% berbanding masyarakat Cina (1.4%)  dan India (4.8%).

Ekuiti bumiputera juga, kata beliau, dalam keadaan kritikal, antara yang terendah dalam sejarah negara iaitu 16.2% pada 2020 berbanding 23% pada 2011 dan 19.3% pada 1990.

Sudah semestinya jurang ekonomi yang semakin melebar ini menjadi cabaran yang cukup besar kepada kerajaan terutama pada tempoh pasca Covid-19,  yang umum mengetahui memberi kesan buruk kepada ekonomi Malaysia, khususnya ekonomi dan pendapatan Bumiputera.

Agenda Bumiputera diangkat semula

Bagi mengubah landskap ekonomi yang sedia ada, usaha memperkasakan agenda bumiputera harus digembleng dengan fomulasi yang lebih berani dan radikal.

Justeru,  langkah mewujudkan Majlis Kemakmuran Bumiputera (MKB) yang dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dilihat sebagai antara langkah proaktif dalam kerangka mempercepatkan pemerkasaan ekonomi Bumiputera.

Ia juga selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 bagi mendukung inisiatif merapatkan jurang ekonomi Bumiputera dengan kaum lain.

Belanjawan 2021 yang dibentangkan pada November tahun 2020, turut memberikan penekanan kepada usaha ini dengan peruntukan sebanyak RM11.1 bilion.

Jumlah yang dikhususkan bagi pembangunan ekonomi bumiputera itu meningkat sebanyak 28% atau RM3.1 bilion berbanding peruntukan yang diterima pada tahun sebelumnya.

“Situasi ini memberi isyarat yang baik namun untuk jangka masa panjang, satu fomulasi yang lebih tinggi impaknya perlu diperkenalkan bagi model baharu pembangunan ekonomi bumiputera, ” tambah Anuar Shah.

Beliau berkata pelan strategik yang komprehensif harus dilaksanakan segera mencakupi semua aspek dalam agenda bumiputera khususnya meningkatkan kembali ekuiti bumiputera yang menurun secara drastik.

“Bayangkan dalam tempoh 10 tahun, ekuiti bumiputera berkurangan sebanyak 6.8% dan angka ini dijangka terus menurun terutama dalam mendepani krisis pandemik Covid-19 ini.

“Sekiranya usaha komprehensif tidak dilakukan, hasrat kerajaan untuk mencapai ekuiti bumiputera sekurang-kurangnya 30% menjelang 2030 sukar direalisasikan,” katanya.

Rebut peluang ekonomi digital

Digital ekonomi dilihat antara usaha yang perlu diberikan fokus dalam meningkatkan ekonomi bumiputera kerana ia mampu memberikan pulangan lumayan kepada rakyat.

Dalam menyatakan hal berkenaan, Anuar Shah berpandangan, bentuk ekonomi baharu ini boleh menjadi  “lubuk emas” kepada bumiputera terutamanya mereka yang akan berkecimpung dalam bidang keusahawanan kerana menjanjikan pulangan yang amat berbaloi.

Menurut beliau, impaknya akan dapat membantu meningkatkan pendapatan bumiputera yang merosot secara signifikan ketika ini.

“Lebih ramai usahawan digital bakal dilahirkan melalui rangka tindakan ini,  seterusnya menyumbang peningkatan ekonomi negara melalui ekonomi digital kerana ia inisiatif berimpak tinggi dan perisai kepada tsunami ekonomi yang sedang menghampiri kita tanpa disedari,” katanya.

Kerajaan sebelum ini memperkenalkan Rangka Tindakan Ekonomi Digital (Mydigital) yang dijangka dapat mencipta 500,000 peluang pekerjaan dengan 30% peningkatan produktiviti dalam semua sektor menjelang 2030.

Ini mampu menyumbang kepada 22.6% ekonomi digital kepada kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dengan unjuran RM70 bilion pelaburan dalam pendigitalan pada masa akan datang.

Anuar Shah turut mengulas tentang ekonomi gig (model ekonomi yang memerlukan organisasi beroperasi dengan bergantung kepada pekerja bebas) di Malaysia, yang berkembang 31% (pada 2017) mengalahkan tenaga buruh konvensional dan boleh menawarkan peluang baharu dalam ekonomi digital yang perlu direbut dalam memperkasakan agenda Bumiputera.

Kaji selidik Zurich Insurance (2020) menunjukkan 38% pekerja sepenuh masa di Malaysia sedang membuat pertimbangan untuk menceburkan diri dalam ekonomi gig dalam tempoh 12 bulan, lebih tinggi berbanding purata global iaitu 20%.

“Usahawan Bumiputera perlu segera menyahut seruan kerajaan menceburi ekonomi gig yang merupakan sebahagian daripada kerangka ekonomi digital.

“Ini dapat meningkatkan pendapatan dan sekali gus membantu bumiputera meningkatkan ekuiti mereka,” katanya.

Perkasa dana Bumiputera

Sementara itu,  hasrat meningkatkan ekuiti bumiputera turut berkait rapat dengan institusi kewangan yang mengendalikan simpanan Bumiputera seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Tabung Haji .

Kemampuan memberikan pulangan yang tinggi melalui dividen kepada penyimpan boleh membantu meningkatkan ekuiti bumiputera melalui pembelian dan pemilikan hartanah, pelaburan, perniagaan dan sebagainya.

Ahli Dewan Negara Senator Idris Ahmad berkata sekiranya dividen ASB atau Tabung Haji tinggi, maka ia akan membuka lebih banyak peluang kepada bumiputera meningkatkan ekuiti mereka tanpa menjejaskan simpanan semasa di ASB ataupun Tabung Haji.

Hal berkenaan mengambil kira pengagihan pendapatan ASB yang semakin menurun dari 2017 hingga 2020.

Pada 2017, pengagihan pendapatan adalah sebanyak 7.00 sen seunit dan bonus 1.25 sen manakala pada 2018, pengagihan pendapatan turun kepada 6.50 sen seunit dan bonus 0.50 sen.

Jumlah pengagihan ASB terus berkurangan pada 2019 kepada 5.00 sen dan bonus 0.50 dan pada tahun lepas,  pengagihan pendapatan ASB  lebih rendah  iaitu 4.25 sen seunit dan juga pengagihan ehsan 0.75 sen seunit bagi 30,000 unit pertama yang dipegang oleh pemegang unit ASB.

“Perkara ni sedikit sebanyak memberikan kesan kepada ekuiti bumiputera yang merosot secara signifikan daripada 23% pada 2011  kepada hanya 16.2% pada 2020.

“Ini bermakna, terdapat keperluan mendesak untuk kerajaan merangka strategi khusus bagi memperkasakan PNB dan seterusnya meningkatkan pengagihan pendapatan ASB bagi 2021 kepada sekurang-kurangnya kembali ke tahap pengagihan pendapatan (dividen dan bonus) yang biasa dicapai sebelum ini iaitu antara 7.00-9.00  sen seunit dan secara tidak langsung berpotensi untuk meningkatkan ekuiti bumiputera berdasarkan lebihan dividen tersebut,” katanya.

Dalam konteks Tabung Haji pula, agihan keuntungan Tabung Haji bagi 2020 iaitu 3.10%  adalah lebih tinggi berbanding 3.05% pada 2019 dan 1.25 peratus pada 2018 iaitu yang terburuk dalam sejarah agihan keuntungan Tabung Haji.

“Peningkatan agihan keuntungan Tabung Haji bagi tahun 2020, menjadi titik tolak kepada kemampuan Tabung Haji dalam mengurus simpanan dan pelaburan umat Islam di Malaysia serta dapat menambah keyakinan umat Islam secara keseluruhannya terhadap Tabung Haji.

“Namun, usaha berterusan perlu dilaksanakan kerajaan dalam membantu Tabung Haji meningkatkan lagi simpanan bumiputera dan seterusnya meningkatkan pengagihan pendapatan Tabung Haji bagi 2021,” katanya. – Bernama, 14 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen