Umno tak pernah labelkan diri kerajaan Melayu-Islam, kata Ku Li


Noel Achariam

UMNO tidak pernah melabelkan dirinya sebagai kerajaan Melayu-Islam kerana Barisan Nasional (BN) sentiasa mempunyai dasar pelbagai budaya, kata Tengku Razaleigh Hamzah.

Veteran Umno itu berkata parti itu tidak pernah bersandar pada agama atau dasar ideologi.

“Tidak ada perkara seperti itu. Kami tidak percaya (kerajaan Melayu-Islam) sebab kami ada campuran masyarakat.

“Saya tak percaya. Semua pelabelan ini tidak betul,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Tengku Razaleigh mengulas ucapan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung Umno 2020 (PAU) di mana beliau berikrar untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengukuhkan undang-undang syariah sekiranya Umno memenangi majoriti dua pertiga dalam pilihan raya.

Zahid berkata perlu untuk membuat perkara ini memandangkan keputusan mahkamah baru-baru ini yang seolah-olah mengurangkan kuasa sistem syariah berkaitan hal agama.

Tengku Razaleigh, atau lebih dikenali sebagai Ku Li, berkata syariah tidak pernah menjadi dasar Umno.

“Bahkan PAS tidak pernah kata. Mereka mahukan sebuah negara Islam dan melaksanakan undang-undang syariah di mana ia boleh dilaksanakan,” kata pengerusi lembaga disiplin Umno itu.

“Kami tidak mempromosikannya (syariah). Namun, kami tidak buta terhadap kewajipan Islam kami.”

Tambah Ku Li rakyat Malaysia lebih bersatu daripada sebelumnya kerana perasaan kesatuan wujud.

“Jika ahli politik berdiam diri dan tidak terlalu banyak bercakap mengenai Bumiputera, etnik, latar belakang budaya, ia akan lebih bagus buat masyarakat dan negara kita berkembang daripada terus berlatar belakangkan etnik.

“Golongan muda (generasi) tidak sedar semua ini. Mereka mahu bergerak ke hadapan,” tambah ahli Parlimen Gua Musang itu. – 10 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen