Kita ada calon PM berkemampuan, Bersatu ada pengkhianat, kata pemimpin Umno


Ravin Palanisamy

Timbalan Pengerusi Umno Johor Nur Jazlan Mohamed berkata Umno mempunyai senarai pemimpin yang layak unutk menjadi perdana menteri.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 9 April, 2021.

UMNO mempunyai senarai pemimpin yang berkemampuan untuk dinamakan sebagai calon perdana menteri sekiranya bertanding sendiri pada pilihan raya umum ke 15, kata Nur Jazlan Mohamed.

Sebaliknya menurut timbalan pengerusi Umno Johor, Bersatu hanya mempunyai pemimpin yang mengkhianati calon perdana menteri.

“Umno tiada masalah untuk ketengahkan pemimpin. Kita ada pilihan dan semuanya berkemampuan.

“Jika kamu tidak mahu presiden, kita ada timbalan presiden. Jika bukan timbalan, kita ada naib presiden..mereka semua mampu untuk menjadi perdana menteri.

“Tapi Bersatu? Jika kamu tidak mahu Muhyiddin Yassin, kamu ada Ahmad Faizal Azumu dari Perak kerana beliau timbalan presiden dalam Bersatu. 

“Kemudian yang seterusnya adalah Mohamed Azmin Ali dan kemudian Hamzah Zainudin. Kedua-duanya pengkhianat dari parti lain,” kata bekas timbalan menteri dalam negeri kepada The Malaysian Insight.

Nur Jazlan berkata pimpinan yang meninggalkan Bersatu hari ini adalah terdiri daripada pengkhianat PKR, Umno dan juga mereka yang memilih Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri mereka.

“Mereka telah khianati parti mereka (sebeum ini) dan kini mereka minta orang ramai pilih mereka, dan mengatakan mereka tidak akan mengkhianati orang ramai.

“Pengkhianat cuba mengkhianati orang ramai dengan mengatakan mereka tidak akan mengkhianati.”

Nur Jazlan turut mengingatkan orang ramai agar membuat keputusan yang tepat apabila mengundi pada pilihan raya akan datang.

Beliau turut menjawab kenyataan ahli Umno yang digantung keahlian Tun Faizal Ismail Aziz, yang mengatakan parti perlu mengenal pasti calon perdana menteri sekiranya berniat untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-15 tanpa PN.

Beliau berkata tidak perlu terburu-buru untuk menamakan calon mereka kerana pilihan raya umum tidak akan diadakan dalam masa terdekat, melainkan darurat ditamatkan.

“Mengapa kita perlu cakap siap siapa yang kita mahu sebagai PM? Bila PRU? Ia bukannya kecemasan (situasi untuk menamakan calon).

“Jika Tun Faisal mahu selesaikan isu itu, beliau perlu minta Muhyiddin batalkan darurat dan adakan pilihan raya,” kata Nur Jazlan.

Pada 12 Januari lalu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dengan nasihat kabinet mengisytiharkan darurat, yang berkuatkuasa sehingga 1 Ogos, sebagai langkah proaktof untuk mengekang pandemik Covid-19 yang semakin teruk di Malaysia. – 9 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen