Kerajaan perlu ubah prosedur vaksinasi, kata Rajiv


Fasa kedua program vaksinasi, yang meliputi warga emas, orang kurang upaya dan penghidap penyakit kronik, akan bermula pada 19 April di lapan negeri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 April, 2021.

PUTRAJAYA perlu membuat perubahan pada program pendaftaran vaksinasi Covid-19 yang ada jika serius ingin mencapai sasaran 70% mengikut jadual, kata Adun Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran.

Wakil rakyat DAP itu berkata terdapat keperluan untuk meningkatkan kepastian dan pilihan semasa pendaftaran, yang akan meningkatkan kadar pendaftaran serta individu yang sedang menunggu giliran juga akan mengetahui berapa lama mereka perlu menanti.

“Daripada sistem yang ada sekarang, seseorang hanya mendaftarkan minat untuk menerima vaksinasi. Mereka harus diberitahu tentang pusat vaksin terdekat, dan dibenarkan menempah slot vaksinasi mereka, iaitu tarikh, waktu dan tempat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Isnin, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin, berkata fasa kedua, yang meliputi warga emas, orang kurang upaya dan penghidap penyakit kronik, akan bermula pada 19 April di lapan negeri.

Beliau berkata hampir 8 juta orang atau 32.6% penduduk Malaysia sudah mendaftar melalui MySejahtera, sementara lebih 500,000 orang sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba sebelum ini berkata tahap pengambilan vaksinasi perlahan kerana hanya sekitar 30% penduduk mendaftar.

Rajiv berkata, kerajaan perlu mengubah sistem pendaftaran untuk mengatasi kadar pendaftaran yang rendah.

“Khairy juga berkata mereka yang mendaftar akan mendapat notis dalam tempoh 14 hari mengenai janji temu, dan kita boleh menerima atau menolak tarikh dan waktu dicadangkan untuk vaksinasi.

“Walaupun kita boleh menganggap kerajaan akan menggunakan teknologi automatik (push notification) bagi pengguna aplikasi MySejahtera, ramai yang mendaftar di laman web atau secara manual.” – 7 April, 2021.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen