Perikatan tahu tangguh Undi18 hilang sokongan anak muda, kata Fahmi


Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil berkata kerajaan PN tahu ia akan hilang sokongan anak muda jika membantah pelaksanaan Undi18. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 April, 2021.

KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) tahu ia akan hilang sokongan anak muda jika tangguh pelaksanaan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun (Undi18), kata Fahmi Fadzil.

Sebab itulah Bersatu menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya Undi 18 dilaksanakan segera, tambah ahli Parlimen Lembah Pantai itu.

“Ada petunjuk jelas kerajaan akan berpatah balik selepas Bersatu tiba-tiba menggesa SPR laksana Undi18,” katanya kepada pemberita selepas beliau dan ahli-ahli Parlimen Kuala Lumpur lain menerima dos kedua vaksin Covid-19 hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin menyeru SPR menyegerakan pelaksanaan pindaan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 berhubung kelayakan mengundi pada usia 18 tahun.

Katanya, angkah itu perlu sebagai mengiktiraf peranan serta penglibatan golongan muda dalam politik.

SPR pada 25 Mac lalu pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun dijangka hanya mampu dilaksanakan selepas 1 September tahun depan.

Pengerusinya Abdul Ghani Salleh dalam satu kenyataan berkata pandemik Covid-19 menjejaskan perancangan dan persiapan SPR menjayakan pendaftaran pemilih automatik serta undi 18, yang sebelum ini sepatutnya dijangka dilaksanakan Julai depan.

“Justeru, pendaftaran pemilih automatik dan undi 18 dijangka boleh dilaksanakan selepas 1 September 2022 apabila menilai semula pelbagai kekangan dan isu yang menjejaskan perancangan serta persiapan awal SPR,” katanya. – 5 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen