BN boleh dapat majoriti besar jika bekerjasama dengan Perikatan, kata MIC


Ravin Palanisamy

Naib Presiden MIC Sivarraajh Chandran berkata lebih mudah Umno dan BN menang dua pertiga pada PRU15 jika mereka bekerjasama dengan PN. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 3 April, 2021.

LALUAN mudah buat Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk menang majoriti dua pertiga dalam pilihan raya akan datang sekiranya mereka bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN), kata Naib Presiden MIC Sivarraajh Chandran.

Beliau berkata bergabung dengan PN akan memperkuat peluang BN merebut kerusi yang mereka kalah dalam pilihan raya sebelum ini, selain menjadikan mereka gabungan yang utuh di Parlimen.

“Sekiranya kita (BN) bekerjasama dengan PN, itu akan menjadi kelebihan bagi semua orang kerana jika PAS dan Bersatu dapat bersama BN, sudah tentu ini akan memberi kekuatan tambahan.

“Bayangkan sokongan orang Melayu yang akan kita dapat kalau kita dapat bekerjasama. Ia akan sangat kuat. Pasti dapat menang banyak kerusi.

“Dan saya percaya kita dapat memperoleh majoriti dua pertiga dengan mudah jika kita semua bekerjasama,” kata Sivarraajh kepada The Malaysian Insight dalam satu wawancara eksklusif.

Bekas ahli Parlimen Cameron Highlands itu berkata pergaduhan dan perselisihan mengenai kerusi antara Umno dan Bersatu merosakkan peluang parti-parti itu untuk bekerjasama.

“Masalahnya adalah antara Umno dan Bersatu, yang berebut kerusi.

“Mereka yang bertanding di bawah bendera Umno pada pilihan raya lalu melompat ke Bersatu dan ingin mengekalkan kerusi itu, sementara Umno mahu kerusi itu kembali.

“Jadi, ada beberapa masalah ego di sini, yang mempengaruhi keseluruhan peluang BN,” katanya.

Baru-baru ini Umno berkata tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dan Perikatan pada PRU15, memilih jalan sendiri untuk bertanding di bawah BN.

Sivarraajh, bagaimanapun, berkata keputusan untuk berpisah dari Bersatu datang dari Umno dan tidak dibincangkan dengan parti komponen lain dalam BN.

Beliau menjangkakan perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat BN akan datang.

“Ini bukan keputusan kami (MIC). Ini keputusan Umno.

“Tetapi saya percaya Umno harus membawa perkara ini kepada BN dan berbincang dengan anggota komponen lain sebelum memutuskan untuk berpisah dari PN.

“Saya percaya akan ada perbincangan pusingan kedua dengan BN (yang belum mereka lakukan) sebelum memutuskan apa-apa,” katanya.

Minggu lalu di perhimpunan agung Umno (PAU), parti itu secara rasmi meluluskan resolusi untuk putuskan hubungan dengan Bersatu pada PRU15.

Umno berkata ia akan kekal dalam kerajaan PN sehingga Parlimen dibubarkan.

Umno juga memaksa PAS memilih antara Bersatu atau Umno. Pada Rabu, PAS mengumumkan keputusannya untuk terus bersama Bersatu dan PN pada PRU akan datang.

Adakah MIC akan bekerjasama dengan Pakatan?

Dengan perbincangan mengenai kemungkinan kerjasama Umno-Pakatan Harapan (PH) masih berjalan, Sivarraajh ditanya apakah MIC akan bekerjasama dengan PH jika tidak ada majoriti yang jelas diperoleh dalam pilihan raya akan datang.

Jawabnya, walaupun Umno masih tidak mempunyai arah dan strategi yang jelas dalam menentukan rakan kerjasama.

Bagi MIC, beliau berkata parti itu harus tunggu dan lihat apakah keperluan tersebut timbul.

Sehingga itu, beliau berkata tujuan utama gabungan itu adalah untuk menang lebih banyak kerusi Parlimen, agar mereka dapat lebih banyak kuasa.

“Buat masa ini presiden Umno dan ketua BN Ahmad Zahid Hamidi berkata tidak ada PKR, DAP, Anwar Ibrahim dan Bersatu. Oleh itu, kita tetap berpegang pada itu.

“Tetapi di sisi lain, ahli majlis kerja tertinggi Umno Tajuddin (Abdul Rahman) berkata ini akan diputuskan selepas pilihan raya.

“Jadi, tidak ada arah atau strategi yang jelas di sini. Sehingga itu, MIC mesti tunggu dan lihat.
 
“Tujuan kita bagaimanapun adalah untuk memenangi lebih banyak kerusi Parlimen dan mempunyai lebih banyak wakil,” katanya.

Tajuddin, yang juga pengarah pilihan raya Umno berkata parti itu terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti atau gabungan untuk membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum ke-15. – 3 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen