Perhimpunan Agung Umno lulus resolusi putus dengan Bersatu


Chan Kok Leong Diyana Ibrahim Mohd Farhan Darwis Hailey Chung Wee Kye

Lima usul yang diluluskan hari ini juga menggesa PRU15 disegerakan dan Umno akan bertanding dengan lambang Barisan Nasional. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 28 Mac, 2021.

PERHIMPUNAN Agung Umno hari ini meluluskan usul memutuskan kerjasama dengan Bersatu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ia turut menetapkan Umno hanya akan menyertai kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga Parlimen dibubarkan.

“Tiada kerjasama dengan Bersatu dalam PRU15 dan kebersamaan dalam kerajaan PN diteruskan sehingga pembubaran Parlimen,” resolusi itu itu dipetik.

Keputusan itu mempertahankan pendirian Majlis Kerja Tertinggi parti itu yang menetampkannya lebih awal pada 19 Februari lalu.

Lima usul yang diluluskan hari ini juga menggesa PRU15 disegerakan dan Umno akan bertanding dengan lambang Barisan Nasional (BN).

Ia turut menetapkan ikrar untuk mempertahankan kerjasama dengan PAS dalam Perikatan Nasional dengan berpandu piagam yang ditandatangani pada 14 September 2019. 

Presiden Ahmad Zahid Hamidi terdahulu ketika menyampaikan ucapan dasar di perhimpunan itu juga menegaskan pendirian Umno untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu dalam pilihan raya umum akan datang.

Beliau turut mengingatkan Muhyiddin Yassin mengenai syarat menyegerakan Pilihan Raya Umum ke-15 untuk membolehkan presiden Bersatu itu dilantik menjadi perdana menteri kelapan.

Zahid pada masa sama berharap PAS akan terus berganding dengan Umno dan turut meninggalkan kerjasama dengan Bersatu dalam pilihan raya umum akan datang.

Resolusi itu bertolak dari usul diluluskan di persidangan 124 bahagian Umno dan majoriti ketua Umno bahagian yang bersetuju menolak kerjasama tersebut.

Keputusan itu diangkat ke mesyuarat MKT Umno pada 19 Februari lalu yang membuat pendirian sama.– 28 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen