PAS pilih Bersatu


PAS akan bersama Bersatu dalam Perikatan Nasional pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata parti itu.

“Bersatu dan PAS akan terus mengukuhkan kerjasama dalam Perikatan Nasional bagi berdepan PRU15,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Keputusan itu dibuat selepas pertemuan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan PAS Abdul Hadi Awang pada 30 Mac lalu.

“Selaku antara Parti Pengasas Utama Perikatan Nasional, Bersatu dan PAS akan menubuhkan suatu Jawatankuasa Pemesyuaratan di peringkat Pusat bagi merangka strategi dan halatuju parti khusus bagi menghadapi PRU15,” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh setiausaha agung kedua-dua parti, Hamzah Zainuddin dan Takiyuddin Hassan.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Umno pada perhimpunan hujung minggu lalu mendesak parti Islam itu membuat pendirian jika bersama Umno atau Perikatan Nasional. 

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memberitahu PAS bahawa belum terlambat untuk PAS kembali ke pangkal jalan selepas bergabung dengan Perikatan Nasional.

“Jangan lupa kita memenangi tujuh pilihan raya kecil selepas pakatan Muafakat,” kata presiden Umno itu semasa Perhimpunan Agung Umno 2020 di PWTC hujung minggu lalu.

Zahid yang duduk dalam barisan sama dengan bekas presiden Najib Razak dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata bahawa walaupun selama enam dekad, kedua-dua pihak mengetepikan persaingan mereka untuk menandatangani perjanjian Muafakat Nasional (MN) pada 14 September 2019.

“Tetapi setelah bergabung dengan kerajaan Perikatan Nasional, (PAS) telah mengubah sikap politiknya.

“Biar saya ingatkan PAS bahawa Umno hanya bersetuju untuk menyokong kerajaan Perikatan Nasional. Tetapi kita tidak tahu bahawa gabungan baharu bernama Perikatan Nasional akan terbentuk tanpa Umno,” kata pemimpin berusia 68 tahun itu. – 31 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen