Belum lambat untuk patah balik, kata Zahid kepada PAS


Diyana Ibrahim Hailey Chung Wee Kye Chan Kok Leong Mohd Farhan Darwis

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menyeru PAS kembali mengukuhkan Muafakat Nasional biarpun ia sudah menyertai PN. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 28 Mac, 2021.

PAS belum lagi terlewat untuk patah balik ke pangkal jalan, kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, mengukuhkan semula kerjasamanya dengan Umno dalam Muafakat Nasional (MN) biarpun parti Islam itu sudah bersama Bersatu membentuk Perikatan Nasional (PN).

“Piagam MN yang termeterai belum sampai ke penghujungnya. Namun belum terlambat untuk kita kembali ke pangkal jalan.

“Kaki kita mesti berpijak di tapak yang sama,” katanya dalam ucapan dasar presiden di Perhimpunan Agung Umno 2020 di Kuala Lumpur hari ini.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang hadir pada perhimpunan dan ditempatkan di pentas utama bersama pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain.

Menurut Zahid, langkah PAS menyertai PN bertentangan dengan pendirian MN mengenai kerjasama politiknya.

“Kita telah mempersetujui dalam mesyuarat MN untuk tidak tergesa-gesa menyertai mana-mana gabungan parti-parti politik. 

“Umno tetap tegas dengan pendirian ini. Kedua-dua kaki Umno tetap berpijak di bumi yang sama. Sikap politik Umno tidak akan seperti lalang ditiup angin,” katanya.

Umno dan PAS membentuk gabungan kerjasama MN pada September 2019 ketika dua parti itu masih jadi pembangkang selepas Pakatan Harapan (PH) menang Pilihan Raya Umum ke-14.

Selepas percaturan politik pada hujung Februari tahun lepas, Muhyiddin Yassin menarik Bersatu keluar dari PH untuk membentuk gabungan kerajaan baharu bersama Umno dan PAS, dan mendapat sokongan parti-parti lain dari Sabah dan Sarawak.

Bersatu dan PAS kemudian mendaftarkan PN sebagai parti politik pada awal Ogos 2020. Umno bagaimanapun bertegas tidak akan menyertai parti baharu itu sebaliknya kekal dalam BN.

Dalam ucapannya hari ini, Zahid juga menegaskan Umno akan bertanding menggunakan lambang BN dalam pilihan raya umum akan datang.

Beliau juga yakin kerjasama MN mendapat sokongan dan membuka ruang kepada Umno dan BN kembali menerajui negara.

“Umno sebagai rakan kongsi politik akan terus jujur untuk menterjemahkan piagam dan perjanjian persefahaman berkenaan kerana ianya merupakan doa dan harapan ummah keseluruhannya,” katanya. – 28 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen